Sunday 8 October 2017

9.0 Dabong Kami Datang

Alhamdulillah, setelah sekian lama menunggu, saat yang dinanti-nantikan tiba jua. Tiada kata seindah bahasa yang dapat dilafazkan melainkan puji dan puja ke hadrat Yang Esa. Dia yang mengizinkan segalanya berlaku dengan Kehendak-Nya jua….

8.30 pagi seperti yang dijanjikan oleh Tim ILTIM, kami berkumpul di pejabat asrama. Segala barang-barang dipunggah masuk ke dalam empat kenderaan termasuk kereta tua kami. Ustaz Raja memulakan ucapan dan mohon dilantikkan seorang ketua yang mengepalai urusan. Serentak dan sepakat, Ustaz Raja juga dipilih memandangkan beliaulah orangnya yang telah memulakan tugasan sejak awal.

“Apabila keluar tiga orang dalam bermusafir maka hendaklah dilantik seorang ketua.”  (Hadis Riwayat Abu Daud)



Doa dipanjatkan ke hadrat Allah SWT agar segala urusan berjalan lancar dan mudah. Satu-satunya staf wanita, Puan Azlinda yang mengiringi sementara menantikan Ustazah Maznah yang menunggu di pertengahan jalan, berhampiran Pasir Putih di kawasan kampung halamannya.

Saya hanya wanita yang mengekori suami dengan anak-anak berderet. Saya berharap kedatangan kami tidak menggangu tugasan mereka, ahli konvoi.  Bahkan, saya berniat untuk sama-sama cuba membantu tim setakat terdaya walau pun terpaksa mengelek si kecil yang sentiasa mahu didukung.

“Jom kita sarapan dulu. Kita pekena ikan bakar Pengkalan Nyireh. Makan berat sebelum buat kerja berat!” Suami menawarkan sambil bergurau. Saya sudah tersenyum memandangkan itulah menu pagi yang selalu menjadi santapan tetamu yang datang berurusan di ILTIM. Tidak pernah jemu!

Encik Sabri yang dilantik selaku Pegawai Perhubungan Tim Konvoi hari itu memberi cadangan, “Saya rasa elok sahaja kita makan di pertengahan jalan. Kalau kita melepasi jam 11 pagi, jalan akan mula sibuk dengan kenderaan yang datang dari pelbagai lokasi. Yang jauh-jauh mula sampai termasuk dari Johor dan sebagainya.”

“Masihkah ada yang menjual makanan nanti?” Sedikit kegusaran diajukan oleh salah seorang daripada kami. Sebenarnya perkara yang sama berlegar-legar di dalam kepala saya sejak dulu lagi. Fikir saya, masakan ada lagi orang yang boleh berniaga makanan di saat Kelantan lumpuh disimbah banjir besar! Betapa saya memikirkan kesusahan rakyat Kelantan mendapatkan stok bekalan bahan mentah dan sebagainya sehingga menyukarkan urusniaga berjalan seperti biasa.

Tersenyum Encik Sabri mendengar soalan yang seakan nakal itu. Risau sungguh ahli konvoi andai perut tidak terisi sebelum menjalankan misi! Beliau yang lebih berpengalaman berulang alik ke Dabong dalam beberapa siri bantuan banjir dengan tim luar meyakinkan tempat berhenti makan ialah di Kampung Bukit Bunga. Satu tempat yang tidak asing bagi ramai orang dan pengguna lebuhraya Timur Barat.

Mendengar Bukit Bunga disebut, saya terbayang barangan bergantungan yang dijual di situ, meriah! Namun, tidak pernah saya berhenti samada untuk membeli barangan atau makan di situ sebelum ini. Tiada dalam agenda perjalanan kami semasa berulang alik melalui kawasan itu. Agak saya, jauh juga tempatnya dari lokasi mula kami.

Kami sekeluarga tidak mengambil sebarang makanan sebelum turun dari kediaman memandangkan suami sudah menyatakan hasratnya untuk menaja sarapan Ikan Bakar. Saya hanya menurut sahaja. Lagipun segala makanan yang dibeli malam sebelumnya sebagai bekalan, termasuk roti dan jem tidak dibawa keluar dari kereta. Saya cuma meminta anak perempuan kecil, si Auliya membawa sudu masuk ke kereta. Air kosong tidak lupa dibawa.

Bukan itu sahaja, tiga botol besar air paip dengan sukatan 10L setiap satunya kami bawa bersama. Cadangnya untuk berwuduk dan segala keperluan yang lain. Betapa kami risaukan kemudahan yang terhad di Kelantan! Apatah lagi, bekas rakan sekolah saya, seorang Pegawai Sains yang juga telah mengikuti misi ke sana bersama pasukan suaminya dari KKM turut berpesan supaya melebihkan bekalan air mentah. Lebih-lebih lagi anak-anak kecil yang saya bawa bersama tidak boleh dijangka waktu mahu melunaskan kehendak biologinya.

Kereta kami yang paling sedikit membawa muatan barangan misi banjir. Lebih banyak barangan sendiri termasuk pakaian tambahan kami sekeluarga. Tidak ketinggalan juga barangan yang dikirim oleh Kak Irah kepada Hikmah. Kereta kami bergerak paling belakang. Ustaz Raja bersama anak saudaranya yang memandu pacuan empat roda mendahului misi ini.




Van jabatan, Toyota Pregio mengekori dengan dipandu oleh staf ILTIM, Encik Ruzmi yang lebih senang dipanggil Pok Mi di kalangan staf. Lebih mesra begitu. Turut serta dalam van ialah Ustaz Mohd Nor, orang lama yang penting dalam organisasi. Encik Taha, penyelia Pasukan Pengawal dan Keselamatan mewakili pasukan mereka. Kami melepasi pejabat pentabiran ILTIM dan terus keluar melalui pos pengawal dan mula  berkonvoi di atas jalan raya.

Baru beberapa minit tayar kereta bergolek di atas jalan, kami mula sibuk membuka bekalan. Roti, di mana roti…! Jenuh saya mencari-cari plastik berlabel ‘Sabasun’. Suami seperti biasa meneruskan pemanduan tanpa menghiraukan kami. Fokus!

“Tolong emak carikan roti sekejap. Ada dalam kereta ini, malam tadi memang emak tidak keluarkan.” Anak-anak segera patuh.

Sekejap sahaja mencari, terus menjawab, “Memang roti tidak ada, emak. Sejak malam tadi, Muhammad tengok tidak ada roti di sini.” Anak yang sulong meyakinkan saya.

“Ini tentu Mukminah yang tinggalkan di kedai Sabasun semalam.” Saya mengeluh perlahan. Bising sekejap dengan sesi salah menyalahkan dan ingin menegakkan kebenaran. Yang sebetulnya ibunya juga yang patut insaf. Umur kian tua, belum bongkok sabut, sudah mula lupa itu ini. Jangan sampai disapa penyakit nyanyuk pula sudahnya! Nauzubillahi min zaalik…

Akhirnya, baru saya teringat sesuatu. Sibuk dengan pilih biskut dan aiskrim, roti dan jem mungkin  ditinggal begitu sahaja…

“Tidak perlu bising-bising. Tengok di hadapan itu. Kereta Encik Sabri sedang membelok ke stesen minyak. Kita boleh turut berhenti di sini.” Kata-kata suami memberi harapan baru pada saya. Biarkan apa yang sudah berlaku, Insya-Allah ada hikmahnya.

Yang penting, adalah pengajaran dari setiap apa yang terjadi walau sekecil-kecil perkara. Pepatah lama orang Melayu jangan diambil enteng. Beringat dahulu,  sebelum kena. Jangan sampai yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran. Sudah dapat gading bertuah, tanduk sudah tidak berguna lagi. Itu semua penting. Nasihat dan peringatan yang berguna dari cantuman frasa yang sangat indah! Pengalaman orang dulu-dulu banyak mengajar orang yang terkemudian.

Pengalaman adalah ilmu yang tidak dapat dijual beli tetapi dapat dikongsi-kongsi. Itulah juga sebahagian daripada tujuan kenapa kisah ini ditulis dan dibukukan.  Sedikit pengalaman yang ingin dikongsi bersama insan yang terhampir, jauh dan dekat. Kita semua sama walau tidak serupa. Kita adalah manusia yang bergelar hamba. Dalam apa yang terjadi, ada kisah di sebaliknya. Dalam apa yang berlaku, ada ibrah yang perlu dijadikan ilmu.

Alhamdulillah… Setiap masalah, ada jalan penyelesaiannya. “Amin, nanti tolong turun ya! Tolong belikan roti dan jem yang sama seperti semalam.” Tanpa berlengah, si anak menurut kata. Mujur juga si kecil lena di atas ribaan. Jika tidak, jenuh pula si Ali ini turut mahu serta dengan abangnya. Cukainya mesti ada. Tentunya aiskrim juga yang akan diminta tanpa mengira waktu, suhu dan cuaca.


 Itulah namanya peel perangai si anak kecil. Bagi kita yang sudah dewasa, sudah mampu membaca dan bercerita, bahkan sudah tua meniti usia, perlu mengkoreksi diri. Adakah kita juga masih sama seperti anak kecil… Adakah kita juga sesekali mahukan suatu perkara dengan segera tanpa mahu menunggu waktu dan tika yang lebih sesuai. Seolah-olah apa yang dimahu, semuanya dapat terus di situ. Apa yang didoa, mahu terus Allah kabulkan saat itu! Astaghfirullah….

No comments:

Post a Comment