Saturday 7 October 2017

4.0 Batik vs Pelikat

Banjir, banjir, banjir. Di sana sini orang ramai bercerita tentang banjir. Masing-masing menggambarkan perasaan di dada. Ada juga yang turut berteori itu ini. Biarkan… Tanya pada diri, apa yang boleh dilakukan. Ramai yang memohon sumbangan. Pelbagai saluran.

 
Pilih sahaja mana yang mungkin mudah dihulur bantuan. Di kampung, di tepi jalan, di kedai runcit, di masjid dan di mana sahaja. Terdapat khemah-khemah sementara didirikan di tepi jalan besar dan pasar untuk memudahkan orang ramai menyalurkan bantuan apa sahaja, samada makanan, pakaian dan sebagainya.

Wahai orang yang beriman! Nafkahkanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian daripada apa yang kami keluarkan dari bumi untuk kamu (biji-bijian dan buah-buahan). 
Janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu), kecuali dengan memejamkan mata padanya. 
Ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji. (Al-Baqarah 2 : 267)

Peluang untuk saya ke Kelantan masih belum kelihatan. Suami sibuk dengan tuntutan tugas di pejabat. Mesyuarat yang tidak kian henti, kerja melambak yang menanti. Sibuk, katanya. Jabatan pula belum ada ura-ura untuk menghantar bantuan secara rasmi. Sesama kaki tangan sudah ada yang berbisik mahu buat itu ini.

Suatu petang, suami bergegas pulang dari pejabat. Tanpa menukar pakaian dan menyentuh hidangan, beliau terus menyelongkar almari pakaian. Laju-laju sahaja lagaknya. Selonggok kain pelikat yang terlipat rapi diturunkan. Pilih dan pilih lagi.

Sambil membelek-belek kain di tangan, suami bersuara, “Tie tidak ada kain batik untuk didermakan kah?”  

Soalan berbalas soalan, “Abang mahu beri pada siapa semua ini?” 

Segera suami menjawab, “Fizi minta tadi. Dia sedang kumpulkan. Fokusnya pada kain pelikat dan keperluan solat.”

Saya lihat suami mengambil pula seluar panjang dan kemeja lengan pendek yang jarang dipakainya. Masih sangat elok. Suami sudah siap memilih, saya terhegeh-hegeh mengambil dua tiga helai kain batik yang saya ada. Itu sahaja. Tidak banyak! Saya memang tiada simpanan kain batik yang banyak di rumah.

Saya telah sedia agih-agihkan koleksi kain batik di rumah ibu dan mertua sebagai persediaan bila pulang ke sana pada hujung minggu. Seingatnya, tidak pernah saya beli kain batik seumur hidup kecuali untuk dijadikan hadiah. Semua kain batik yang saya ada itu pun juga adalah dari hadiah yang saya terima selama ini. Saya bukan wanita melayu yang sentiasa ayu berkain batik. Menyarungkannya hanya sekali sekali sahaja, bukan setiap hari.

“Abang, kain batik yang belum berjahit ada lagi. Kalau diberi, di mana pula mereka mahu jahitkan. Tidak perlu, kan?” Saya bertanyakan soalan dengan jawapan tersedia.

“Cepat! Cepat!... Fizi sudah mahu pulang.” Suami minta saya segera ambilkan plastik besar untuk masukkan baju kain yang melonggok.

Hari sudah agak lewat petang. Fizi berulang alik dari Seberang Takir ke Bukit Keluang setiap hari demi tuntunan tugas di sini. Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Wilayah Timur.  Kampungnya juga pernah dilanda air bah berpunca dari air pasang besar luar biasa yang melanda Kuala Terengganu ketika musim banjir besar baru-baru ini.

Rumahnya turut dimasuki air dan beliau sekeluarga turut berdepan detik-detik cemas untuk menyelamatkan diri dan barang keperluan penting. Allahu Akbar! Rupanya ujian yang sebegitu diambil pengajarannya untuk lebih perihatin kepada mereka yang lebih susah dan memerlukan. Fizi menjadi contoh anak muda yang berjiwa matang. Beliau lebih merasai kesusahan yang dialami mangsa banjir dan keperluan utama yang mahu disumbangkan.

Beliau berjaya menyuntik semangat masyarakat untuk segera membuat sumbangan. Kami juga tidak terlepas menumpang peluang. Hati sedikit terubat. Sekurang-kurangnya pemberian ini mewakili diri kami yang belum dapat menjejakkan kaki untuk turut bersama mangsa di sana. Walaupun sedikit, kami doakan ianya dapat membantu sedikit sebanyak buat mangsa banjir yang memerlukan.

Ralat rasanya memberi semua pakaian yang sudah terpakai, saya selitkan juga sehelai selimut bujang yang kebetulan baru sahaja dibeli. Paling tidak, ada juga sehelai kain baru yang masih berbau kedai. Baru dari kilang! Terpulanglah kepada siapa Allah SWT rezekikannya.

Sebenarnya, saya dan suami sebelum ini, memang sedikit ralat untuk menyumbang pakaian sendiri. Bimbang jika ianya dibuang begitu sahaja. Bukan mahu bersangka buruk, tetapi sayang sekiranya dibazirkan sedangkan kita juga masih elok memakainya. Akhirnya, niat menyumbang tidak kesampaian.

Walau bagaimana pun, tidak dinafikan ganjaran pahala tetap menanti andainya ikhlas diberi walau bagaimana sudahnya nanti. Pengalaman lepas dan cerita yang tersebar menyebabkan kami lebih berhati-hati. Sedih bila melihat banyak sekali sumbangan pakaian terpakai yang terbuang begitu sahaja. Mungkin yang dibuang itu sudah tidak elok dipakai atau mungkin juga tidak sesuai dengan mereka yang menerima. Kemungkinannya apa sahaja. Wallahu a’lam.

Namun begitu, lain pula halnya kali ini. Bila orang yang uruskannya kami kenali, boleh dipercayai seperti Fizi, dengan penuh yakin kami bekerja sama. Insya-Allah hajat yang baik akan terlaksana dengan izin dari-Nya jua. Moga kain batik dan pelikat yang diberi tidak sia-sia.

Agak lucu selepas itu, bila anak-anak sibuk bertanya, “Mak, kenapa pakai kain ayah?” Anak yang bongsu seusia tiga tahun sama sahaja soalan yang ditanya. Bagi ibunya biasa-biasa sahaja, walaupun namanya pelikat, boleh dipakai juga. Terhad untuk edisi di rumah sendiri sahaja! Namun, lain halnya bagi anak-anak kami. Hak ayah tetap hak ayah. Pelikat untuk ayah. Batik untuk emak. Itulah juga paradigma masyarakat kita, bukan salah mereka. Pelikat untuk lelaki, batik untuk perempuan…

No comments:

Post a Comment