Saturday 14 October 2017

13. Segalanya Milik-Nya


Bertanyalah (wahai Muhammad): 
“Kepunyaan siapakah segala yang ada di langit dan di bumi?
 Katakanlah : 
“(Semuanya itu) adalah milik Allah. Dia telah menetapkan atas diri-Nya sifat kasih sayang. Sesungguhnya Dia akan menghimpun kamu pada hari kiamat yang tidak ada sebarang syak padanya.” 
Orang yang merugikan diri sendiri (dengan mensia-siakan kurniaan Allah), maka mereka dengan sebab yang tersebut tidak akan beriman.
Dan kepunyaan Allah jualah segala apa yang ada pada waktu malam dan siang; dan Dialah  Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
(Al-An’am6 : 12-13)

Saya bebas memerhati ke sana ke mari, masih di sekitar mereka. Saya melihat dan mena’kul. Tiada lagi gunanya pinggan mangkuk mahal buatan luar negara. Semuanya berlumpur dihumban atau terhumban di laman rumah. Pada tika itu, saya melihat jauh dari dalam hati, insafi diri! Semuanya sama. Miskin dan kaya, tiada beza. Harta dunia semuanya sementara. Allah boleh ambil bila-bila masa.



 Saya sedar, cukup terpana! Untuk kita makan, yang penting bukanlah jenis pinggannya lagi…. Tahan pecah, bunga cantik bukan ukuran. Untuk kita memasak, bukanlah periuk lutsinar atau cantik berbunga perlu jadi idaman. Tahan haba, dari peti sejuk terus ke dalam ketuhar bukanlah ciri utama. Untuk kita tidur, bukan jenis katil dan cadar ropolnya yang perlu dititikberatkan. Sofa dan segala peralatan rumah, asalkan sahaja dapat berfungsi, semuanya sama!

Segala barang dan isi rumah bertaburan di sana-sini. Peti sejuk, kipas angin, mesin basuh, tilam, perabot dan apa sahaja. Tiada lagi beza pada rupa dan jenama bila semuanya hilang fungsi tiada berguna. Iktibar untuk kita semua. Segala isi dunia ini, cukuplah untuk kita ambil dan guna sekadarnya.  Berbelanja tidak sampai boros dan berlebih-lebihan. Lebih baik berinfak kepada insan yang memerlukan. Itu yang utama.



 Aduh! Sakitnya menusuk ke hati. Kalau itu yang dikejar dan dicari selama ini, segalanya sudah tidak berguna lagi bila jadi begini. Jika dipandang dari mata hati, orang yang biasanya hidup susah, lebih beruntung dalam situasi begini. Kerugiannya lebih minima berbanding si kaya. Miskin dan kaya sudah jadi setara. Ada kereta tersadai, ada rumah terbiar. Masih bernyawa,  itulah yang utama… Bekalan akhirat, itulah yang kekal selamanya.

Saya mengintai ke dalam surau. Paras air pada dinding luarnya masih jelas kelihatan, memberi indikasi bahawa surau juga bukan tempatnya untuk menumpang berteduh ketika itu. Tiada yang akan selamat sekiranya cuba berlindung di situ. Mungkin hanya tingggal bumbung andai tempat itu mahu dihuni. Aahh! Tidak akan ada insan yang mahu dan sudi bertahan di situ lagi.



 “Mimbar yang berada di tingkat bawah, di bawa air naik ke tingkat atas.” Ujar pak Bilal yang berada di situ. Masya-Allah! Saya mendongak melihat arah kedudukan mimbar yang jauh bezanya dengan kedudukan asal. Dinding  dan lantai surau masih ada kesan bewarna coklat dan perang. Tikar dan sejadah terhampar menandakan jemaah sudah dapat bersolat di situ.

“Pasukan dari Selangor yang datang bersihkan surau ini.” Beritahu lagi pakcik tanpa dipinta. Jelas terbayang kegembiraan di wajahnya apabila surau dapat berfungsi semula walau pun dalam keadaan yang dhaif begitu. Itulah yang sepatutnya. Dalam kita bersusah, kita kembali kepada Pencipta. Masjid dan surau usah dilupa. Betapa baiknya insan yang datang datang dari kejauhan, menabur budi menanam saham akhirat untuk membolehkan manusia kembali tunduk sujud di rumah Allah ini….

Setelah berlama di kawasan itu, pasukan kami mula menaiki kereta dan bergerak semula. Lorong demi lorong kami lewati. Adakalanya jalan tersekat dek kenderaan yang tidak henti-henti memasuki kawasan. Adakalanya kami perlu berundur semula kerana di depan sana merupakan jalan mati.

Kenderaan kami terpaksa berundur semula di satu kawasan berhampiran tanah perkuburan. Hati tersentuh melihat tanah kubur dan batu nisan. Inilah tempat yang dituju oleh semua. Banjir tidak menjadi masalah kepada mereka di alam sana. Batu nisan bertaburan. Pokok besar tumbang. Tiada masalah kepada penghuni alam barzakh!



 Bagi yang hidup, banjir besar yang luarbiasa ini datang bersama ancaman. Nyawa mesti diselamatkan! Semuanya cuba lari menyelamatkan diri. Ramai dari penduduk di sini sudah bersiap-siap meninggalkan rumah sebelum mereka tenggelam. Biarkan rumah dan kelengkapan tinggal begitu, tidak mampu lagi diangkat dan dibawa sama. Ada yang sempat menjejak dan dijejak saudara dan taulan. Ada yang cuma berkampung di atas jambatan.

“Makan apa sahaja bekalan makanan yang sempat dibawa. Lapar usah nak dicerita lagi…” Tergiang-ngiang cerita penduduk kampung. Ketika itu nyawa lebih berharga dari perut dan mata yang minta diberi jasa. Walau tengah malam, mereka tetap lari. Lari dari bahaya di depan mata, mencari sebarang sudut dan ruang yang dianggap lebih selamat walau untuk seketika. Tidak perlu fikir untuk masa yang panjang, cukup untuk survival pada masa itu sahaja dahulu.

Sudahnya, ada yang bertahan dua tiga hari, ada yang memakan minggu. Ada juga insan  yang kembali pulang menghadap Ilahi dangan asbab banjir besar ini. Bermacam tragedi dan musibah yang menimpa bukan sahaja meragut nyawa mangsa banjir, bahkan tidak kurang juga di kalangan sukarelawan yang cuba datang membantu. Semoga mereka pergi dalam keadan yang baik, cukup bekalan amalan dan diterima Allah…

Hingga ke hari ini, sudah hampir setengah tahun peristiwa banjir berlaku. Masih ada mangsa banjir yang terus menunggu untuk kembali seperti dulu. Masih tiada rumah, apatah lagi kenderaan. Bukan mudah segalanya ingin berganti baru. Patah tumbuh, hilang berganti. Namun, bukan mudah buat mereka semua. Sukarnya saat itu!

Ya Allah, kami sedar ujian yang Engkau datangkan kepada mereka, bukanlah semata-mata untuk mereka. Ujian-Mu untuk mereka dan kami. Mereka yang merasa dan kami yang memerhati. Adakah cukup ikatan persaudaraan sesama kami, sama ada kenal sebagai sesama muslim atau kenal sebagai sesama insan kerdil. Cukupkah bantuan yang kami hulur. Cukupkah doa yang kami kirim. Ujian-Mu untuk mereka yang masih hampir dengan kami. Dekat untuk dijejak, dekat untuk didatangi.

Ya Allah, ampunilah kami semua. Andai hati kami masih keras. Masih tidak melihat kebesaran-Mu dalam Engkau Mentadbir alam-Mu. Kami hanya makhluk-Mu yang menumpang seketika di bumi-Mu, bersama-sama saudara kami yang lain seluruh alam. Sekali Engkau datangkan bah, tidak mampu kami menangkis. Sekali Engkau datangkan kemarau, tidak mampu kami mengait hujan turun dari langit.

Dan Kami turunkan hujan dari langit dengan sukatan yang tertentu serta Kami tempatkannya ia tersimpan di bumi dan sesungguhnya Kami berkuasa melenyapkannya. (Al-Mukminun 23 : 18)

Katakanlah lagi : “Bagaimana pendapat kamu, sekiranya sumber air kamu menjadi kering, maka siapakah (selain Allah) yang dapat mendatangkan air yang sentiasa terpancar mengalir kepada kamu?”(Al-Mulk 67 : 30)

Ya Allah, walau apa jua ujian yang melanda, walau bagaimana kesannya pada kami dan sesiapa sahaja, tetapkanlah iman kami. Biarlah landasan kami adalah Islam-Mu Ya Allah. Hanya itu tujuan Engkau ciptakan kami. Menegakkan syiar Islam-Mu di atas muka bumi ini….

Ya Allah, selamatkan seluruh saudara Islam kami di muka bumi-Mu. Walau di ceruk alam mana pun, Engkau tempatkan mereka. Mereka dengan ujian mereka. Kami dengan ujian yang Engkau tetapkan buat kami. Bantulah kami semua dalam menghadapi itu semua. Kami semua tetap hamba-Mu. Bersatu kami dalam agama-Mu. Bersatu kami dalam doa ke hadrat-Mu….

 “Sesungguhnya kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (terhadap musuh), kelaparan, harta benda dan jiwa serta buah-buahan (hasil tanaman). Sampaikan berita gembira kepada orang yang sabar.
(Iaitu ) orang yang apabila mereka ditimpa musibah, mereka berkata, “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” (Al-Baqarah 2 : 155-156)

Ya Allah bantulah kami…
Walau siapa dan di mana kami
Hanya kepada-Mu kami meminta
Walau apa ujian dan rintangan
Selamatkanlah kami dunia dan akhirat

Segalanya milik-Mu ya Allah…

No comments:

Post a Comment