Saturday 7 October 2017

1.0 Banjir dan Secebis Kisah…


Akhir Disember 2014, negara dikejutkan dengan musibah banjir besar yang melanda Kelantan Darul Naim. Pengalaman sejenak bersama keluarga dan rakan-rakan suami menyertai misi bantuan banjir ke Dabong pada 04 Januari 2015, menjentik-jentik naluri saya untuk berkongsi rasa dengan saudara sesama kita. Rasa kerdilnya diri ini, diri kita semua. Kita hanya hamba-Nya. Hamba yang sangat lemah.  Hamba kepada Sang Pencipta, Allahu Rabbi. Tiada daya dan upaya melainkan Allah.

Dabong, kami datang. Alhamdulillah Allah izinkan niat saya untuk ke Kelantan, melihat sendiri dengan dua biji mata apa yang Allah takdirkan terhadap insan-insan pilihan di sana. Kelantan dan Besut, ibarat adik-beradik. Lokasinya tidak terlalu jauh. Loghat dan percakapannya tidak berbeza. Budayanya masih sama.

Melihat kepada apa yang berlaku, saya bisikkan pada suami, “Abang, marilah kita ke Kelantan, melawat mangsa banjir. Kita boleh ajak anak-anak kita melihat sendiri nasib mereka di sana. Kalau perlu, kita ajak mereka sama-sama ikut gotong royong bersihkan masjid dan kawasan.”

Saya seolah-olah lupa seketika bahawa hanya dua orang sahaja anak saya yang boleh dikira besar dari segi fizikal dan umurnya. Tiga orang selebihnya masih lagi kanak-kanak riang yang hanya tahu mahu berseronok. Kelak lain yang diharap, lain pula yang jadinya.

Jawapan suami menidakkan impian, “Di sana belum ada bekalan air, mana mungkin mahu jalankan kerja pembersihan.” Betul juga kata suami. Namun, hati saya masih menyimpan harapan.

Aku mahu ke sana
bersama putera puteri
walau sekadar sehari
Aku ingin ke sana
dekati insan teruji
walau sekadar simpati

Saya panjangkan hajat kepada Allah SWT. Hanya Allah yang mampu memungkinkan segala. Memberi tanpa had, tiada kuota dan syarat. Mohonlah hanya pada-Nya!

Rutin harian diteruskan. Berita demi berita yang didengar dan dilihat hasil perkongsian di layar maya meruntun hati dan perasaan. Suatu hari, saya melihat seorang rakan maya, Hikmah berkongsi kisah. Detik-detik cemas beliau dan adik-beradik mengharungi air separas dada dinukilkannya satu persatu. Mereka keluar dari rumah meminta bantuan tanpa ibu ayah di sisi.

Hati saya meronta-ronta ingin membantu. Mahu sahaja rasanya mereka diajak tinggal di sini. Bersama kami menumpang rumah kecil ini, di pinggir tasik Bukit Keluang. Saya tahu, dalam keadaan demikian, segalanya tidak mungkin! Jarak dan suasana menjadikan rumah kami lebih jauh dari jarak sebenar. Kami sendiri diterjah bahaya bila aras air tasik mula meninggi serta angin ribut yang kian mengencang.

Hati berdebar membaca kisahnya. Saya kongsikan pula cerita bersama keluarga dan rakan. Detik realiti dari mereka yang mengalaminya sendiri. Kisah sahih tanpa ragu. Mereka yang lain juga perlu tahu dan mesti cuba membantu. Sungguh, hati ini tidak menentu…

Kami terus berdoa. Rakan dan adik yang ada di Kelantan cuba dihubungi. Hanya rakan di Pasir Putih yang masih bersambut berita. Itu pun sekali sekala. Talian telefon juga terkesan dengan musibah banjir. Banjir yang mengganas. Sejarah baru mula tercipta. Banjir besar melanda Kelantan Darul Naim.

Tanah jajahan bersimbah air
Dari langit dari sungai
Hubungan darat tersekat
Hubungan  air terjejas
Hubungan udara terbatas  
Terputus hubungan di sana sini
Jalan dan jambatan hilang  fungsi
Di mana sahabatku…
Di mana saudaraku…

‘Ya Allah jangan Engkau putuskan hubungan kami dengan-Mu, Ya Allah. Jangan Engkau runtuhkan hati-hati kami, Ya Allah. Tetapkan hati kami untuk hanya bermohon pada-Mu ya Allah. Engkau Maha Mendengar, Ya Allah. Kami bernaung hanya pada-Mu. Bantulah sahabat- sahabat dan saudara-saudara kami. Bantulah kami, Ya Allah…’

Rakan di Tanah Merah dan Pasir Mas sudah sepi sesepinya. Hati makin rawan. Apa khabar sahabatku di sana. Saya tidak mampu menjejak. Hati mula sedikit terubat bila melihat Hikmah di Pasir Mas sempat berutus khabar di laman maya. Khabar yang mungkin terakhir darinya, begitu ujarnya. Alhamdulillah, beliau berada di tempat selamat walaupun ahli keluarganya terpisah-pisah di tempat yang berbeza-beza.

Berita demi berita terus menyayat hati, meruntun perasaan. Saya yang lama menyepi dari laman sosial, mula aktif melayarinya semula untuk mengetahui perkembangan keadaan terkini. Terlalu banyak berita dikongsi. Terlalu! Sehingga berita benar dan palsu sukar dibeza. Hati makin tidak keruan. Doa, doa, doa….

Alhamdulillah, sekali lagi hati saya bersambut sinar. Seorang sukarelawan, Puan Zarin giat berusaha di Tanah Merah. Berita sahih dari rakan maya, Puan Masayu yang berkongsi tentang usaha-usaha sahabatnya yang membantu mangsa di sana. Saya cepat menghubungi Puan  Zarin. Mesej peribadi saya kirimkan walau tidak pernah kenal dia siapa. Yang pasti, beliau berada Tanah Merah. Tempatnya selamat dan beliau sedang membantu mereka yang menjadi mangsa banjir.


‘As salam Puan. Saya ada sahabat di sana. Seorang guru, langsung tidak dapat dihubungi… Cikgu Sains, Norsya Mamat. Suaminya, Ustaz Fendi juga seorang guru. Malangnya saya tidak tahu alamat dan sekolah mereka. Rasa sangat ingin membantu setakat termampu…’


Jam menunjukkan 11.00 malam. Timbul rasa ralat di hati. Tidak elok rasanya menghubungi orang pada waktu begitu, apatah lagi tidak pernah kenal siapa. Namun apakan daya. Cepat bertindak lebih elok pada saat-saat cemas melanda begini. Sunyi… tiada jawapan. Hati saya berteka-teki. Doa terus doa…

Tit tit… mesej dari kumpulan rakan belajar zaman Universiti Malaya menerjah masuk. Jam menunjukkan 11.28 malam. Ya Allah!... Hampir tidak percaya. Rakan yang saya cuba hubungi tidak berjawab selama ini tiba-tiba memunculkan diri. Allahu Allah… Berita bersambut seribu syukur. Norsya hubungi kami menerusi kumpulan sosial.

Segera saya khabarkan pada suami, “Abang, tengok ini. Saya mesej pada seseorang untuk merisik khabar Norsya. Mana tahu Allah taqdirkan dia mengenali Norsya. Lagipun dia tinggal di Tanah Merah…”

Saya seolah lupa, bahawa Tanah Merah itu luasnya bukan hanya sekangkang kera. Bila keadaan terdesak begitu, kita akan cuba apa sahaja. Tawakkal hanya pada Yang Esa!

Suami hanya terus mendengar, melihat keterujaan saya. “Orang itu tidak balas, akhirnya Allah takdirkan Norsya sendiri yang jawab…”. “Ya Allah, bukankah Allah Maha Mendengar!” Saya terus menerus bercakap tanpa memberi ruang kepada suami mengulas sepatah. Mesej Nosya terus saya kongsikan pada suami tanpa diminta.


‘Assalamualaikum. Saya baru balik ke Terengganu. Di Tanah Merah, tiada air, elektrik dan talian. Jadi, saya tidak boleh hubungi sesiapa. Alhamdulillah, rumah saya selamat. Air cuma naik hingga ke satu anak tangga sahaja. Rakan-rakan satu sekolah ramai yang pindah sebab mereka tinggal di kawasan laluan air sungai. Sangat sedih, cuma doa sahaja yang termampu.’


Saya tidak lengah membalas. Tidak lupa memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT yang merancang semua itu. Saya khabarkan padanya kerisauan saya tentang dia. Saya yang diibaratkan seperti kucing kehilangan anak mengenangkan dia. Saya tidak lupa turut menyatakan tentang  mesej saya pada Puan Zarin yang masih belum berjawab. Saya juga nyatakan padanya hasrat yang telah saya suarakan pada kumpulan sosial kami sebelum itu.

Andai Norsya sekeluarga bersesak-sesak di pusat pemindahan, lebih baik berkampung sahaja di rumah kami. Tidak terbayang andai mereka lapan sekeluarga termasuk bayi kecil berkumpul di sini. Tentunya riuh dan gamat. Walaupun agaknya rumah padat seperti sardin, meriah!

Segalanya mahu terluah ketika itu. Norsya juga tidak kurangnya terus bersemangat menulis di hujung talian. Mesej bersambut mesej.


‘Tinggal di Tanah Merah, disebabkan masalah talian, kami seperti tidak tahu apa-apa berita di luar sana. Tambahan pula, kita orang perempuan bukannya boleh keluar ronda-ronda macam orang lelaki. Kena jaga rumah. Sekarang ini juga, petrol pun sudah habis!

Mesin keluarkan duit pun boleh sesak dengan orang ramai yang keluar mencari barang keperluan. Sungguh kasihan, lebih-lebih lagi terpaksa berlapar. Anak saya sudah mula merungut kerana setiap hari hanya sardin dan ikan kering yang mampu dihidang. Anak zaman sekarang tidak pernah dan tidak pandai hidup bersusah-susah. Lebih menyedihkan, di sini kes kecurian pun ada juga!’

 Berita gembira, sedih dan terharu bercampur baur. Dalam senyum dan gembira dihubungi Norsya, hati sedih dan rawan mendengar itu semua…

Sebak pula bila saya bercerita pada suami. Dia juga turut merasa simpati. Lebih-lebih lagi dia turut mengenali suami Norsya. Ustaz Fendi adalah rakan sepengajiannya ketika sama-sama belajar di Universiti Malaya dan Akademi Islam Kelantan, Nilam Puri.

No comments:

Post a Comment