Saturday 7 October 2017

6.0 Episod Perjalanan Bermula

Pagi Khamis yang indah. Saya cukup seronok dalam perjalanan pulang ke kampung menyaksikan kenderaan bertali arus menyongsang arah. Saya ke Kuala Terengganu, mereka ke Kelantan. Aku ke depan, engkau ke belakang. Dalam terharu, saya menyeka air mata. Banjir lagi! Bilakah pula masanya untukku ke sana. Saya sudah memasang angan, jika ke Kelantan, mahu juga singgah ke Pasir Mas, berjumpa Hikmah.

Perjalanan kami teruskan menuju destinasi. Singgah sebentar di pusat bandar Kuala Terengganu, suami melangsaikan tugasnya di sana. Suami sengaja mengambil cuti pada hari tersebut untuk menyelesaikan satu urusan penting. Kami sekeluarga senang mengikut sahaja pada musim cuti sekolah begitu.

Saya melihat suami dihubungi seseorang. Butir percakapan jelas kedengaran. “Peralatan solat… RM 500, okey baiklah, insya-Allah.”, balas suami di corong telefon. Saya dapat mengagak sesuatu.

Hati bagaikan tersenyum, berbisik riang ‘Ada harapan…’ Saya menjangkakan bahawa pihak jabatan sedang memberi arahan. Sebenarnya, hampir tepat bagai diteka, Ustaz Raja dari ILTIM (Institut Latihan Islam Malaysia Wilayah Timur) rakan kerja suami di Besut meminta bantuan. Dana sudah terkumpul, barang-barang keperluan perlu dibeli segera. Pengkhususan tugas membeli jenis-jenis barang sedang diagihkan secara atas talian. Mudahnya urusan… Alhamdulillah.

Sebenarnya, dalam diam kakitangan telah berpakat mengumpulkan wang untuk ke Kelantan. Suami tidak pula menceritakan secara serius sebelum ini. Bila jabatan membatalkan cadangan membersihkan kawasan kerana ketiadaan air, fikir saya mereka terus membatalkan hasrat ke sana. Pintu yang tertutup kini terbuka semula. Saya menyimpan angan ingin turut serta bersama anak-anak. Mungkinkah…

Oh! Seronoknya... Tugas utama sekarang, ialah sediakan barang-barang! Membeli belah itu kerja saya. Badan yang letih, boleh kembali menjadi segar. Ajak sahaja berbelanja, anak-anak turut gembira. Dari satu kedai ke kedai milik usahawan Islam yang jual murah kami jejaki. Kain pelikat habis stok. 

“Telekung solat jenis ini sudah habis”, kata mereka. Pelayan kedai sedia maklum kedai mereka diserbu orang. Barang laris dijual. Semua mahu dibawa ke Kelantan.

Kami menukar haluan ke kedai lain pula. Setelah bermalam di kampung saya, Kuala Terengganu kami bergerak semakin menjauhi Kelantan. Arah kami ke Dungun pula, ke kampung suami. Perjalanan pada hari Jumaat. Kami singgah di pertengahan jalan untuk memberi laluan solat Jumaat. Semasa menunggu, saya sempat bersembang dengan kaum wanita yang lain.

Rupanya ada di antara mereka yang sedang dalam perjalanan menuju ke Kota Bharu. Mahu menjenguk saudara yang ditimpa banjir, katanya. Saya teruja! Perjalanan kami teruskan. Singgah pula sebentar di stesen minyak Dungun, saya terserempak dengan seorang pemandu wanita yang membawa kereta skuad cakna dari syarikat berjenama kereta Malaysia. Beliau berhenti menunaikan solat. Barang penuh muatan.

Ya Allah… Tidak tahu mahu dikata apa. Saya senyum sambil mendoakan. Sudah jelas di depan mata, mereka mahu ke sana. ‘Aku juga ingin turut serta…’ saya mengomong sendirian.

Akhirnya, kami parkirkan kereta di depan kedai Desa Murni Dungun. Saya segera mencari barang-barang yang dikehendaki sambil membuat anggaran kira-kira menggunakan telefon di tangan. Semua harga akan dipotong 30 peratus. Jimat, Alhamdulillah.

Saya pilih beberapa pasang telekung. Bukan hanya harga yang rendah saya ambil kira. Yang penting, telekung solat biarlah sempurna untuk menutup aurat. Tidak jarang, nipis melayang. Anak-anak turut membantu membuat pilihan. Corak warna sulam yang sederhana, tenang dipandang menjadi syarat. Saya sedari seorang lelaki memandang-mandang, fikir saya mungkin kerana kebecohan saya bersama anak-anak.

Suami pula sibuk memilih-milih kain pelikat. Tiba-tiba suami datang mendekati. Ada berita baik yang mahu dikongsi. Ada seseorang yang ingin menabur budi. 

Saya bertanya, “Mana orangnya?” Suami segera menunjuk ke arah lelaki tadi.

“Oh! Patutlah dari tadi dia memerhati. Mana isterinya?” Saya segera dekati mereka. Saya tinggalkan sebentar barangan di dalam raga, menyalami wanita yang baik hati. Sejenak kami berkenalan.

Katanya, “Setiap kali kami jumpa dengan orang yang mahu ke sana, sahaja kami tumpang sekaki. Terima kasih kerana sudi izinkan kami sama-sama berbakti.”

Ya Allah… Begini caranya mereka membantu mereka di sana. Saya mengucap syukur ditemukan dengan mereka. Bilangan telekung di dalam raga bertambah dengan suntikan dana segera yang datang tanpa di sangka-sangka. Umpama rezeki yang turun dari langit. Syukur pada-Mu Ya Allah… Terima kasih wahai insan berhati mulia…

Ketika di kaunter, sekali lagi lelaki tadi membuat kejutan. Beliau sebenarnya seorang pengusaha restoren makanan bergril ala Barat yang bertapak di Dungun dan Paka. Usahawan rupanya. Sedang kami membuat bayaran, diletakkannya tambahan beberapa helai kain pelikat di atas kaunter.

“Ini saya bayarkan…”, katanya. Di situ sahaja dana kami bertambah sebanyak hampir RM200. Daripada RM500 yang diperuntukkan, belanja barangan yang kami perolehi sudah bernilai lebih dari itu. Luasnya rezeki-Mu Ya Allah. Nikmat Allah yang mana yang mahu engkau dustakan. Insaf!

Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? (Ingatlah) Allah jualah yang menyempit dan yang meluaskan (pemberian rezeki), dan kepada-Nyalah kamu semua dikembalikan. (Al Baqarah 2 : 245)

Semua barang yang dikehendaki sudah dibeli kecuali sejadah. Dengan mengambil kira sejadah hanya terhad kegunaannya untuk solat sahaja, kami gantikannya dengan tikar. Tikar bersaiz sederhana besar menjadi pilihan. Boleh nantinya dibuat alas duduk-duduk sahaja, makan atau solat juga. Pelbagai fungsi! Harganya yang sederhana, amat berbaloi jika dibuat ganti sejadah yang juga lebih kurang sama harganya. Bak kata pepatah, alah membeli menang memakai…


Tugas kami selesai. Itu yang kami fikir! Duit yang diperuntukkan telah habis dibelanja. Barang-barang sudah dimuatkan ke kereta. Betapa hari itu kami terserempak dan dipertemukan dengan ramai insan yang berjiwa hamba. Mereka yang turut merasa susah di saat saudara semuslim yang lain ditimpa musibah. Ibarat cubit paha kanan, paha kiri sakit juga. Semoga Allah redhai segala usaha dan ikhtiar hamba-hamba-Nya yang telah mencuba sekadar terdaya.

No comments:

Post a Comment