Sunday 8 October 2017

8.0 Misi Mencari Barang

Petang Sabtu, kami bertolak pulang ke Besut. Sekali lagi kami singgah dahulu berbelanja. Suntikan dana dari Emkay, Dr Aza dan Kak Irah membolehkan kami membeli keperluan tambahan. Tengahari itu Emkay telah menghantar mesej peribadi.

‘As salam Notie, ini Emkay. Saya sudah pindahkan RM 500 ke akaun Notie untuk bantuan banjir ke Dabong esok…’  
Terkejut saya bukan kepalang melihat jumlah wang yang tertera. Sangka saya kalau ada yang sudi, tidaklah sampai sebanyak itu. Nilainya sama dengan jumlah wang yang telah diperuntukkan kepada kami oleh pihak ILTIM. Semuanya telah habis dibelanja semalam. Alhamdulillah…

Saya terharu bila membaca mesej yang dibalasnya kembali setelah saya nyatakan terima kasih di atas sumbangan yang tidak sedikit itu.

‘Sebenarnya saya tengah belajar untuk meletakkan harta benda sebagai daki dunia. Namun, kalau kita jadikan infaq, insya-Allah. Moga Allah akan bantu baiki akhlak kita dan hindarkan bala bencana yang lagi besar. Tolong doakan juga agar keluarga saya baik-baik sahaja ’  

Kami kembali ke Desa Murni Dungun. Rupanya stok telekung seperti yang dikehendaki telah tiada lagi. Alhamdulillah, stok simpanan di dalam stor masih berbaki, cukup-cukup untuk kami beli. Alhamdulillah, bilangan telekung solat bertambah. Moga lebih ramai yang dapat beribadah dengan lebih sempurna.

Tikar biasa tidak kami cari lagi kerana semuanya sudah kami beli semalam. Habis stok! Tikar besar yang boleh lipat dan gulung sesuai untuk diletakkan di masjid surau yang tidak dibeli pada hari sebelumnya kerana kekurangan bajet telah mampu dibeli hari itu. Bukan itu sahaja, kami bergerak pula ke KK1M (Kedai Kain 1 Malaysia) untuk membeli selimut bujang yang sedang dijual dengan harga promosi, sangat murah sekali! Sayangnya hanya tidak sampai 10 helai yang boleh dibeli kerana itu sahaja yang berbaki. Habis stok lagi!

Rakan ILTIM di Besut sentiasa menghantar khabar. Dua orang wakil staf, Ustaz Rosli dan Encik Sabri berselang hari telah terlebih dahulu mendahului rakan yang lain ke Dabong bersama grup mereka di tempat lain. Maklumat dan gambar terkini dikongsi. Apakah lagi barangan yang mangsa banjir lebih perlukan disampaikan kepada kami. Ustaz Raja terus menghubungi kami meminta dibelikan itu dan ini. Kami bersemangat cuba mencari. Anak-anak sama satu kepala dengan kami.

Dr Aza juga telah menghantar mesej menyatakan dia bersetuju untuk membuat sumbangan. Wang yang dimasukkan ke dalam akaun melebihi apa yang dijanjikan sebelumnya.

Sekali lagi saya terharu dengan kemuliaan budi rakan-rakan yang pernah bersama-sama mengharung zaman persekolahan di Sekolah Sains Sultan Mahmud (SESMA)  lebih 20 tahun yang lalu.

‘Tie, beli apa yang dirasakan perlu ya! Duit lebih itu untuk tambahan belanja perjalanan Tie tau!’  

Ya Allah, hanya ucapan terima kasih yang mampu saya balas untuknya. Semoga segala yang baik-baik mengiringi para dermawan senyap ini. Segala kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah swt.

Wang terkumpul menghampiri nilai RM 1000. Jumlah yang cukup besar bagi kami untuk membuat pembelian barang-barang keperluan yang telah tersenarai. Segala amanah dan kepercayaan yang diberikan tidak kami sia-siakan. Insya-Allah kami telah cuba sedaya upaya melakukan yang terbaik sebagaimana yang diminta.

Alhamdulillah, Pasaraya Sakan dapat kami jejaki untuk membeli keperluan asas  yang lain. Pakaian dalam turut menjadi permintaan utama. Kami membeli mengikut jantina. Suami di sudut sana, saya di sudut sini. Akhirnya penuh satu plastik besar siap berbayar. Senarai semak barang yang perlu sudah berkurang. Namun, lilin dan minyak ubat tiada di situ. Habis stok! Maidin di sebelah menjadi sasaran seterusnya. Hanya sedozen minyak afiat boleh dibeli. Lilin habis stok lagi!

Kami meninggalkan daerah Dungun. Misi mencari lilin. Lilin oh lilin! Kami singgah di pertengahan jalan di Marang, kedai Wahab Kadir yang terkenal di situ. Juga tiada lilin. Habis stok lagi! Alang-alang singgah saya belikan terus ubat gigi dan sabun mandi seperti dikehendaki. Sedikit sahaja yang boleh dibeli kerana bajet perlu disimpan untuk membeli lilin. Susahnya mencari lilin di musim banjir besar. Tiada elektrik, lilin menjadi terlebih utama. Semuanya mahu dibawa ke Kelantan yang sedang bergelap.

Waktu maghrib, kami sampai di Kuala Terengganu. Bersolat di masjid yang kebetulannya terletak di kampung Emkay yang jauh ditinggalkannya. 15 tahun yang lalu kami juga menyewa di situ. Sengaja saya kongsikan gambar Masjid Al-Ikhlas di dalam kumpulan ‘Sekolah Lama’. Mana tahu jika Emkay melihatnya, mungkin terubat rindu.
  


Kami teruskan misi mencari lilin. Setelah mengalas perut, kami segera menuju ke Pasaraya Sabasun di Wakaf Tembusu.  Lilin tiada juga. Habis stok lagi! Duit berbaki saya habiskan untuk membeli beberapa kotak kecil lagi ubat gigi bagi mencukupkan bilangan yang telah dibeli. Alhamdulillah. Misi selesai. Barangan bernilai hampir RM 1500, hampir tiga kali dari nilai yang diperuntukkan kami bawa pulang untuk disampaikan ke Dabong. Kami isytiharkan lilin tiada.

Bukan lilin sahaja kehabisan stok, biskut dalam tin, dalam kotak semuanya habis terjual. Yang tinggal hanya biskut tin besar yang dijual secara timbang. Cadangnya saya mahu belikan untuk dijadikan buah tangan kepada Hikmah andai sempat menyinggah di Pasir Mas esoknya. Itu projek peribadi saya, pinta saya kepada suami kiranya diajak ke Kelantan.

Saya seronok sekali melihat pekerja-pekerja Sabasun sibuk memuatkan pelbagai barangan makanan ke atas kenderaan pacuan empat roda yang berjujuk-jujuk di hadapan kedai. Mahu sahaja dirakamkan gambarnya namun keadaan semasa tidak memungkinkan. Sibuk! Air mineral, roti, beras, gandum, minyak, kicap dan apa sahaja semuanya mahu dimuatkan ke atas. Budu pun ada juga.  Semua ada! Ramai sekali ahli masyarakat yang sanggup memberi dan turun membantu.

Tidak terkecuali juga mereka yang menyumbang dari jauh. Walau mereka tidak turun ke Kelantan, wang yang mereka infakkan itulah yang membolehkan misi bantuan berjaya dilaksanakan. Muatan penuh di dalam ratusan kenderaan di sana sini adalah hasil sumbangan duit orang ramai walau di mana sahaja. Walau sedikit atau banyak yang mampu disumbang, masing-masing berebut mengambil peluang.

Perumpamaan (derma atau nafkah) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah adalah seperti sebiji benih yang menumbuhkan tujuh batang tangkai; setiap batang tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Allah  melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya), lagi Maha Mengetahui. (Al-Baqarah 2 : 261)

Janji Allah pasti. Membantu sesama saudara di dunia, menanam saham untuk bekalan diri di akhirat sana. Indahnya hidup ini. Pihak yang memberi dan menerima sama-sama mendapat manfaat. Tidak rugi! Insya-Allah…

Sebelum masuk ke perut kereta, anak-anak tidak lupa mengambil peluang membeli ais krim di luar kedai. Gamat mereka memilih perisa masing-masing. Saya turut membeli biskut timbang di tempat yang sama. Plastik berisi roti dan sekaya saya serahkan kepada anak untuk dipegang. Saya sibuk mengambil biskut pilihan untuk ditimbang satu persatu.

Buka tin tutup tin. Sedikit untuk dijadikan bekal, selebihnya telah dikhaskan untuk dijadikan hadiah. Hampir jam 10 malam, kami memulakan perjalanan. Besut kami pulang. Untuk puaskan hati, sekali lagi kami berhenti singgah di pertengahan jalan. Turun mencari lilin di kedai melayu yang dibuka  24 jam dengan slogan ‘Mok kite maroh jual mahal’.

Bagai diduga, jawapan tidak berubah! Habis stok lagi! Kami cuba pula singgah lagi di stesen minyak Merang, Setiu. Tiada juga... Sahih, terang lagi bersuluh, semua lilin sudah habis dijual di Terengganu. Dari Dungun, Marang, Kuala Terengganu dan Setiu terus kami jejaki. Tiada sebatang lilin pun yang berbaki. Di Besut apatah lagi, sebab itu mereka di sana meminta kami mencarinya di sini.

Rupanya tidak mudah mencari lilin di musim banjir besar begini… Lilin oh lilin… Ada masanya lilin langsung tidak diperlukan. Bila terdesak, semua orang mencarinya. Sungguh besar kegunaan lilin walau sering diketepikan fungsinya. Kadang-kadang hanya sekadar hiasan semata. Agaknya ada banyak hikmah dan pengajaran yang boleh dikutip dari kisah sebatang lilin. Lilin bisa memberi cahaya menerangi gelap malam. Lilin juga bisa membakar memusnahkan segala. Kecoh dibuatnya mencari lilin!..

Alhamdulillah, kira-kira jam 11.30 malam kereta kami memasuki pagar ILTIM. Suami terus membelok ke pejabat asrama. Ustaz Raja yang datang sebelumnya untuk menempatkan barang-barang yang terkumpul di situ telah pun pulang ke rumahnya. Anak-anak yang sudah lena tidur kepenatan kami biarkan terus di dalam kereta. Siapa yang terjaga sama-sama pula turun memunggah barang masuk ke dalam. Semua barang yang telah dibeli diturunkan untuk diagihkan semula esok hari. Seperti biasa, saya rakam gambar lagi.





Pakaian terpakai yang khusus Kak Irah berikan kepada Hikmah untuk dipilih dan diagihkan, kami biarkan sahaja di dalam kereta. Itu projek khas kami secara peribadi. Sambil menyelam sambil minum air. Alang-alang ke Kelantan, saya ambil peluang berjumpa rakan. Alang-alang ke Dabong, Kuala Krai, apa salahnya singgah sebentar di Salor, Pasir Mas bertanya khabar.

Daripada Abu Hamzah Anas ibn Malik r.a., khadam Rasulullah saw, daripada Nabi saw, Baginda bersabda :

Seseorang kamu tidak benar-benar beriman sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri.”


(Hadis riwayat al-lmam al-Bukhari dan Muslim.)

No comments:

Post a Comment