Saturday 7 October 2017

3.0 Berat Sama Dipikul

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Kita bagaimana pula? Justeru itu, berat sama dipikul ringan sama dijinjing. Walaupun bantuan yang sedikit cuma mampu dihulurkan, setidak-tidaknya diharapkan dapat mengurangkan sedikit beban mereka yang menanggung.

Saya sangat terharu mendapat perkhabaran sahabat seperguruan saya, Latif (seorang rakyat warganegara Singapura) yang berusaha datang ke Kelantan bersama rakan seangkatannya, Ismarizal. Melihat kesungguhan mereka yang jauh di selatan, rela bersusah-susah menyusur jalan raya berjam-jam untuk sampai ke destinasi, saya merasa cukup terpukul.

Apalah sangat kami di Besut ini. Setakat ke Kelantan, ibarat perjalanan harian biasa, 15 minit sahaja sudah berada di garisan sempadan! Mereka di Johor sana turut merasa tempias banjir, mana mungkin kami di sini boleh berpeluk tubuh.


Lebih mengharukan, Latif dan pasukan lelakinya berhenti jauh di Kuantan untuk membeli barang-barang keperluan termasuklah susu dan lampin bayi. Itu belum lagi termasuk segala keperluan yang lain. Hati saya ria bercampur sebak melihat fotonya yang dikongsi di laman maya sedang menolak troli.


‘Ya Allah, anak teruna sanggup turun padang, belikan pula keperluan bayi. Mungkin itulah pertama kali seumur hidupnya berbuat begitu. Aku pula seorang ibu, tidak sanggup rasanya hanya melihat sahaja. Mereka di sana kelaparan, kesejukkan dan tidurnya tidak tahu bagaimana. Kelantan, insya-Allah aku akan ke sana…’ hati saya merintih.

Semangat saya untuk ke Kelantan semakin membuak-buak. 

‘Ya Allah, tunaikanlah hasrat kami...’.

Saya siap berpesan kepada suami, “Kalau jabatan anjurkan trip bantuan ke sana, saya ingin ikut serta! Biar pun saya hanya wanita yang bergelar suri rumah tangga…”

Rakan di Selangor juga turut memuatkan perkongsian gambar-gambar gerak kerja mereka di sana. Trailer bantuan bergerak dari sana terus ke Kelantan. Bukan sedikit barang yang dibawa… Moga pahala mengiringi mereka…

Orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang mereka belanjakan itu dengan mengungkit-ungkit, dan tidak pula menyinggung atau menyakiti (pihak yang diberi), mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka. 
Tiada kebimbangan (daripada berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak berdukacita (di akhirat kelak). (Al Baqarah 2 : 262)

Sementara itu, saya terus menghubungi Norsya. Ingin sekali saya mengetahui perkembangan di Kelantan secara terus darinya. Deringan telefon bersambut. Alhamdulillah… Norsya riang bercerita itu ini. Dia sudah berada di kampungnya, Kuala Terengganu.

Dalam gembira, masih ada berita berselit duka. Dia baru sahaja menziarahi beberapa orang saudaranya yang meninggal berselang hari. Syukurlah dia sekeluarga sudah pulang ke kampung. Jika tidak, mana mungkin berita ini akan sampai kepadanya di Tanah Merah. Talian telefon di sana masih bermasalah ditambah pula ketiadaan bekalan elektrik. Segalanya menjadi sukar untuk saling berhubung berita.

Diceritakannya pula, seorang lagi kawan sepengajian kami dahulu, Izzah turut ditimpa musibah banjir. Rupanya rumah Izzah di Tanah Merah tenggelam hampir mencecah bumbung. Semuanya musnah. Beliau sekeluarga sedang menumpang di rumah ibunya di Pasir Mas. Baru saya tahu, rumah Norsya di Kampung Bendang Nyior berbeza lokasi dengan rumah Izzah di Taman Megah Jaya. 

Sebelumnya, saya hanya tahu Norsya sahaja yang tinggal di Tanah Merah. Saya mulai risaukan Norsya bila berita yang diterima bahawa daerah itu turut dilanda bah tanpa terfikir langsung bahawa Izzah juga bermukim di daerah sama. Rupanya kawasan kediaman Izzah yang lebih teruk mengalami kemusnahan.

Sekali lagi, saya hubungi Puan Zarin menceritakan keadaaan perihal seorang lagi rakan saya, juga seorang guru yang bertugas di sana. Alhamdulillah, saya sudah dapat berhubung dengan Puan Zarin. Kami mula menjadi rakan baru di laman maya. Beliau telah pun membalas mesej saya sehari selepas saya hubunginya bertanyakan Norsya.  

Beliau yang baik hati telah meminta alamat penuh Norsya untuk dijejakinya. Secara jujur saya katakan kepadanya, saya sudah dapat berhubung dengan Norsya dan dia kini selamat di kampung. Akhirnya, alamat Norsya yang diminta, alamat Izzah pula yang saya beri. Mangsa banjir bertukar orang. Kali ini alamat sekolah dan rumah lengkap diberi.

Siapa tahu, sedikit maklumat dapat pula membantu Izzah sekeluarga. Dari hari ke sehari, semakin ramai rakan yang perlu dijejak. Di laman maya pun saya saksikan tidak putus-putus mereka yang memaklumkan ahli keluarga dan kenalan yang perlu dibantu. Terkepung air dan tidak boleh keluar, minta pihak berkaitan memberi bantuan.

Masing-masing gawat. Masing-masing cuba menjalankan tanggung jawab sesama insan sedaya boleh. Saya juga cuba panjangkan dan sebarkan pesanan sesama rakan. Setidak-tidaknya ada usaha di sini untuk orang di sana.

Tiada lagi berita dari Hikmah di Pasir Mas. Betul jangkaannya tempohari, itu mungkin berita terakhir darinya. Gangguan bekalan elektrik dan masalah talian membataskan hubungan. Mujur juga ada berita yang dititipkan oleh rakan-rakan Hikmah yang menyatakan mereka semua selamat, usah khuatir. Yang perlu, doakan mereka! Semoga Allah mudahkan segala…

Ya Allah…
 Mudahkanlah…
dan jangan
Engkau susahkan…
dan sempurnakanlah
dengan kebaikan… 

No comments:

Post a Comment