Saturday 7 October 2017

7.0 Dermawan vs Sukarelawan

Alhamdulillah, tugas membeli barang-barang sudah kami lunasi. Malamnya, saya kongsikan di laman maya berita baik berkait insan dermawan yang turut menyumbang ketika membeli barangan untuk di bawa ke Kelantan. 

Saya isytiharkan Dabong menjadi destinasi pilihan. Itulah yang dikhabarkan oleh pihak ILTIM kepada suami tempohari. Saya turut kongsikan gambar barangan yang diambil berhampiran tempat letak kereta sebelum disumbat masuk ke dalam bonet kereta.
  


Maklumat yang sama saya kongsikan bersama keluarga dan rakan di kumpulan sosial. Saya katakan iklan buat mereka semua andai ada yang ingin turut serta menyumbang.

Satu jam kemudian, baru saya sedari ada mesej yang telah masuk setengah jam sebelum itu. Mesej pertama datang dari kumpulan ‘Sekolah Lama’ yang terdiri daripada sembilan ahli yang diasaskan oleh satu-satunya bekas rakan sekolah yang berlainan bangsa. Saya baca mesej yang dihantar oleh saudara Emkay.


‘Saya mahu tambah duit untuk telekung. Notie, sila bagi nombor akaun bank.’  

Ringkas sahaja mesejnya untuk saya. Namun, dia turut menulis mesej lain untuk menarik perhatian Ah Soon, jika turut mahu menyumbang. Tanpa berlengah, saya bertindak. Bagai orang mengantuk yang disorongkan bantal, peluang yang datang sangat saya hargai. Sekelip mata, nombor akaun sudah tertera di skrin telefon. Masuk lagi mesej baru dari Emkay, mohon saya ingatkan dia kembali sebelum bertolak ke Dabong.

Seterusnya, saya buka pula mesej peribadi yang dikirimkan oleh rakan dari kumpulan ‘Rakan Wanita SESMA’. Rupanya mesej Dr. Aza hanya berselang lima minit dengan Emkay yang turut bertanyakan perkara yang sama. Alhamdulillah, Allah taqdirkan sahabat-sahabat saya juga di kalangan mereka yang prihatin. Dermawan senyap. Semoga Allah berkati dan rezekikan mereka semua dengan nikmat kesihatan yang baik dan kebahagian yang berpanjangan di samping keluarga tersayang.

Pada hari Sabtu keesokkan harinya, ditakdirkan Allah saya terpandang status yang dikongsikan di laman sosial oleh Puan Mas, rakan maya yang juga sifu saya di ABDR (Akademi Bekerja Dari Rumah) bertajuk “Dabong. Jejak ke Dabong.”

Beliau berkongsi status yang telah dikongsi oleh sukarelawan tersohor, Tuan Raja sehari sebelum itu. Bagai disuruh-suruh, saya turut mengongsikannya juga. Bahkan saya siap merakam paparan skrin tersebut untuk dikongsikan di dalam kumpulan sosial. Andainya ada mereka yang ingin tahu mengapa Dabong yang menjadi lokasi destinasi, cukuplah ini jawapannya.


Dabong merupakan kawasan yang teruk terjejas banjir. Dikhabarkan berbelas rumah (atau lebih) yang dihanyutkan arus. Keadaan amat menyedihkan. Tiada pusat pemindahan dan masing-masing bertaburan di jalan-jalan yang lebih tinggi, berlindung di khemah-khemah yang dibuat sendiri. Boleh dikatakan semuanya sehelai sepinggang dan bantuan luar yang datang amat minima…

Sebenarnya di sana sini ramai yang sedang berbuat sesuatu. Para dermawan dan sukarelawan saling berbuat kerja, bekerjasama. Paling tidak, ramai yang mendoakan. Itu sudah tentu, Insya-Allah... Doa adalah senjata mukmin. Perkara terbaik yang perlu dilakukan di belakang sahabat dan sesama insan adalah doa.

Di dalam kumpulan sosial, rakan-rakan saya yang lain juga giat mengutip sumbangan. Ada yang sudah siap menghantar barangan ke tempat bantuan. Sahabat di Selangor, Melaka dan di mana sahaja. Pelbagai bentuk sumbangan terawal telah diagihkan. Mereka telah sanggup sudi bekerjasama menzahirkan sumbangan moral, fizikal mahupun material untuk menjayakan misi bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Di samping itu, bantuan untuk sesama ahli keluarga dan rakan sendiri tidak dilupa. Kumpulan ‘Rakan Wanita UM’ giat mengumpul dana untuk diagihkan kepada rakan yang menjadi mangsa banjir termasuk Izzah di Tanah Merah, Kelantan dan dua orang lagi rakan masing-masing di Bera dan Temerloh Pahang.

Kumpulan keluarga saya sendiri juga turut mengeluarkan wang tabungan yang dikumpul secara berkala setiap bulan oleh sesama ahli untuk disalurkan kepada dua orang adik saya yang menjadi mangsa banjir di Kemaman. Indahnya hidup ini. Islam mengajarkan umatnya saling beri-memberi, bantu-membantu walau tidak kira siapa. Kenal atau tidak, bukan syaratnya. Yang penting niat ikhlas dari hati….

Saya menjadi perantara di antara kakak suami, Kak Irah dan Hikmah yang saling tidak mengenali antara satu sama lain. Saya hanya menyampaikan pakaian terpakai daripada kakak ipar kepada sahabat maya. Baru pagi itu saya suarakan kepada Kak Irah bahawa selepas ke Dabong, Insya-Allah saya mungkin juga akan singgah sebentar di Pasir Mas untuk berjumpa kawan.

Saya sekadar cuba jaya tanyakan jikalau Kak Irah masih ada pakaian yang boleh diberi. Telah banyak pakaian yang disumbangkan dalam siri banjir sebelum ini, terutamanya ketika banjir  teruk melanda Kemaman pada tahun yang sudah. Mungkin tiada lagi stok pakaian yang boleh diberi, fikir saya.

“Saya baru sahaja berikan kepada pihak di sini dua tiga hari lepas.” Jawapan pendeknya jelas. Apa yang saya faham tiada lagi pakaian terpakai yang boleh diberi.

“Alahai ruginya tidak telefon awal sebelum pulang ke sini…” Saya menyalahkan diri sendiri. Saya ceritakan apa yang dikongsi Hikmah di laman sosial. Dia sangat simpati.

Dikeluarkannya beberapa helai jubah dan tudung labuh. “Ini saya simpankan untuk Mukminah.” Dia menunjukkan kepada saya pakaian yang elok berlipat.

Saya cuba membuat cadangan, “Apa kata kita berikan sahaja semua baju ini?”

Saya jelaskan padanya bahawa Mukminah masih ada banyak pakaian. Lagipun jubah dan tudung saya sudah ada tersimpan untuknya di rumah. Saya menganggap bahawa pertukaran secara sistem barter sedang berlaku. Kak Irah menghadiahkan Hikmah jubahnya bagi pihak saya. Saya pula memberikan jubah saya kepada Mukminah bagi pihaknya.

Baik sungguh hati kakak ipar saya itu. Dalam diam dia menyimpan pakaian untuk anak saudaranya tanpa pengetahuan kami. Akhirnya, disimpannya juga sepasang jubah untuk Mukminah sebagaimana niat asalnya. Mungkin sebagai tanda kenangan darinya. Yang lain semuanya diserahkan kepada saya untuk dibawa ke Pasir Mas.  Seterusnya, dibongkarnya lagi almarinya. Lebih banyak lagi dikeluarkannya pakaian satu persatu!

Berjam-jam pula pagi itu saya bertugas memasukkan baju kurung sepasang demi sepasang ke dalam plastik pembungkus makanan yang lutsinar dan disalotep mengikut cadangannya. Satu persatu ditanda. Saiznya pun turut dinyatakan. Terpakai atau baru, buruk atau lama semua tidak terkecuali dilabel mengikut jenis pakaian. Baju kurung, jubah dan sebagainya.

Dikeluarkan juga baju kurung dan jubah arwah mertua yang masih elok tersimpan lebih lima tahun yang lalu. Tidak ketinggalan telekung solat terpakai yang masih baru dan lama turut diberi. Semua ada termasuk pakaian yang tidak disangka-sangka. Ada yang masih berbalut plastik kedai tanda belum dibuka.

Kemas sekali gerak kerja seorang guru yang memilih untuk pencen awal ini. Kak Irah sama naik dengan saya duduk terjelepok membungkus satu demi satu. Rancangannya pagi itu mahu keluar menyelesaikan urusannya di bandar Dungun tertangguh ke sebelah petang.

Cantik pula kelihatan bungkusan pakaian yang dibuat satu-satu begitu. Lucu pula saya membaca label yang tertulis setiapnya. Sekali pandang kelihatan seperti barang yang mahu dijual pula. Bila dijumlahkan semuanya, terkejut juga saya bila mendapati puluhan pasang juga adanya. Satu beg balik kampung bersaiz biasa dan satu beg guni bersaiz besar sudah tersedia.  Beg terpakai diberi sama. Semoga gembira hati si penerima!

Tiada lagi ruang  kosong di dalam bonet mahupun di dalam perut kereta. Penuh! Pakaian kotor kami tujuh beranak yang terkumpul selama tiga hari terpaksa ditinggalkan. 

“Tinggalkan sahaja pakaian itu di sini. Balik minggu depan, awak ambil semua yang siap dibasuh. Lipat, saya tidak jamin.” Ujarnya ketawa mengekek.

‘Ya Allah, baiknya hatimu kakak.’ Itu yang terdetik di dalam hati walau pun itulah sebenarnya Kak Irah yang saya kenali selama ini. Hanya ucapan terima kasih yang mampu saya lafazkan. Moga Allah ganjari!

Semoga setiap insan yang tidak berkira dengan wang ringgit yang dikeluarkan, peluh yang menitis, minda yang berfikir untuk membantu hamba sesama hamba walau di mana sahaja berada diganjari Allah kebahagiaan dan ketenangan di dunia dan akhirat. 

No comments:

Post a Comment