Saturday 14 October 2017

13. Segalanya Milik-Nya


Bertanyalah (wahai Muhammad): 
“Kepunyaan siapakah segala yang ada di langit dan di bumi?
 Katakanlah : 
“(Semuanya itu) adalah milik Allah. Dia telah menetapkan atas diri-Nya sifat kasih sayang. Sesungguhnya Dia akan menghimpun kamu pada hari kiamat yang tidak ada sebarang syak padanya.” 
Orang yang merugikan diri sendiri (dengan mensia-siakan kurniaan Allah), maka mereka dengan sebab yang tersebut tidak akan beriman.
Dan kepunyaan Allah jualah segala apa yang ada pada waktu malam dan siang; dan Dialah  Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
(Al-An’am6 : 12-13)

Saya bebas memerhati ke sana ke mari, masih di sekitar mereka. Saya melihat dan mena’kul. Tiada lagi gunanya pinggan mangkuk mahal buatan luar negara. Semuanya berlumpur dihumban atau terhumban di laman rumah. Pada tika itu, saya melihat jauh dari dalam hati, insafi diri! Semuanya sama. Miskin dan kaya, tiada beza. Harta dunia semuanya sementara. Allah boleh ambil bila-bila masa.



 Saya sedar, cukup terpana! Untuk kita makan, yang penting bukanlah jenis pinggannya lagi…. Tahan pecah, bunga cantik bukan ukuran. Untuk kita memasak, bukanlah periuk lutsinar atau cantik berbunga perlu jadi idaman. Tahan haba, dari peti sejuk terus ke dalam ketuhar bukanlah ciri utama. Untuk kita tidur, bukan jenis katil dan cadar ropolnya yang perlu dititikberatkan. Sofa dan segala peralatan rumah, asalkan sahaja dapat berfungsi, semuanya sama!

Segala barang dan isi rumah bertaburan di sana-sini. Peti sejuk, kipas angin, mesin basuh, tilam, perabot dan apa sahaja. Tiada lagi beza pada rupa dan jenama bila semuanya hilang fungsi tiada berguna. Iktibar untuk kita semua. Segala isi dunia ini, cukuplah untuk kita ambil dan guna sekadarnya.  Berbelanja tidak sampai boros dan berlebih-lebihan. Lebih baik berinfak kepada insan yang memerlukan. Itu yang utama.



 Aduh! Sakitnya menusuk ke hati. Kalau itu yang dikejar dan dicari selama ini, segalanya sudah tidak berguna lagi bila jadi begini. Jika dipandang dari mata hati, orang yang biasanya hidup susah, lebih beruntung dalam situasi begini. Kerugiannya lebih minima berbanding si kaya. Miskin dan kaya sudah jadi setara. Ada kereta tersadai, ada rumah terbiar. Masih bernyawa,  itulah yang utama… Bekalan akhirat, itulah yang kekal selamanya.

Saya mengintai ke dalam surau. Paras air pada dinding luarnya masih jelas kelihatan, memberi indikasi bahawa surau juga bukan tempatnya untuk menumpang berteduh ketika itu. Tiada yang akan selamat sekiranya cuba berlindung di situ. Mungkin hanya tingggal bumbung andai tempat itu mahu dihuni. Aahh! Tidak akan ada insan yang mahu dan sudi bertahan di situ lagi.



 “Mimbar yang berada di tingkat bawah, di bawa air naik ke tingkat atas.” Ujar pak Bilal yang berada di situ. Masya-Allah! Saya mendongak melihat arah kedudukan mimbar yang jauh bezanya dengan kedudukan asal. Dinding  dan lantai surau masih ada kesan bewarna coklat dan perang. Tikar dan sejadah terhampar menandakan jemaah sudah dapat bersolat di situ.

“Pasukan dari Selangor yang datang bersihkan surau ini.” Beritahu lagi pakcik tanpa dipinta. Jelas terbayang kegembiraan di wajahnya apabila surau dapat berfungsi semula walau pun dalam keadaan yang dhaif begitu. Itulah yang sepatutnya. Dalam kita bersusah, kita kembali kepada Pencipta. Masjid dan surau usah dilupa. Betapa baiknya insan yang datang datang dari kejauhan, menabur budi menanam saham akhirat untuk membolehkan manusia kembali tunduk sujud di rumah Allah ini….

Setelah berlama di kawasan itu, pasukan kami mula menaiki kereta dan bergerak semula. Lorong demi lorong kami lewati. Adakalanya jalan tersekat dek kenderaan yang tidak henti-henti memasuki kawasan. Adakalanya kami perlu berundur semula kerana di depan sana merupakan jalan mati.

Kenderaan kami terpaksa berundur semula di satu kawasan berhampiran tanah perkuburan. Hati tersentuh melihat tanah kubur dan batu nisan. Inilah tempat yang dituju oleh semua. Banjir tidak menjadi masalah kepada mereka di alam sana. Batu nisan bertaburan. Pokok besar tumbang. Tiada masalah kepada penghuni alam barzakh!



 Bagi yang hidup, banjir besar yang luarbiasa ini datang bersama ancaman. Nyawa mesti diselamatkan! Semuanya cuba lari menyelamatkan diri. Ramai dari penduduk di sini sudah bersiap-siap meninggalkan rumah sebelum mereka tenggelam. Biarkan rumah dan kelengkapan tinggal begitu, tidak mampu lagi diangkat dan dibawa sama. Ada yang sempat menjejak dan dijejak saudara dan taulan. Ada yang cuma berkampung di atas jambatan.

“Makan apa sahaja bekalan makanan yang sempat dibawa. Lapar usah nak dicerita lagi…” Tergiang-ngiang cerita penduduk kampung. Ketika itu nyawa lebih berharga dari perut dan mata yang minta diberi jasa. Walau tengah malam, mereka tetap lari. Lari dari bahaya di depan mata, mencari sebarang sudut dan ruang yang dianggap lebih selamat walau untuk seketika. Tidak perlu fikir untuk masa yang panjang, cukup untuk survival pada masa itu sahaja dahulu.

Sudahnya, ada yang bertahan dua tiga hari, ada yang memakan minggu. Ada juga insan  yang kembali pulang menghadap Ilahi dangan asbab banjir besar ini. Bermacam tragedi dan musibah yang menimpa bukan sahaja meragut nyawa mangsa banjir, bahkan tidak kurang juga di kalangan sukarelawan yang cuba datang membantu. Semoga mereka pergi dalam keadan yang baik, cukup bekalan amalan dan diterima Allah…

Hingga ke hari ini, sudah hampir setengah tahun peristiwa banjir berlaku. Masih ada mangsa banjir yang terus menunggu untuk kembali seperti dulu. Masih tiada rumah, apatah lagi kenderaan. Bukan mudah segalanya ingin berganti baru. Patah tumbuh, hilang berganti. Namun, bukan mudah buat mereka semua. Sukarnya saat itu!

Ya Allah, kami sedar ujian yang Engkau datangkan kepada mereka, bukanlah semata-mata untuk mereka. Ujian-Mu untuk mereka dan kami. Mereka yang merasa dan kami yang memerhati. Adakah cukup ikatan persaudaraan sesama kami, sama ada kenal sebagai sesama muslim atau kenal sebagai sesama insan kerdil. Cukupkah bantuan yang kami hulur. Cukupkah doa yang kami kirim. Ujian-Mu untuk mereka yang masih hampir dengan kami. Dekat untuk dijejak, dekat untuk didatangi.

Ya Allah, ampunilah kami semua. Andai hati kami masih keras. Masih tidak melihat kebesaran-Mu dalam Engkau Mentadbir alam-Mu. Kami hanya makhluk-Mu yang menumpang seketika di bumi-Mu, bersama-sama saudara kami yang lain seluruh alam. Sekali Engkau datangkan bah, tidak mampu kami menangkis. Sekali Engkau datangkan kemarau, tidak mampu kami mengait hujan turun dari langit.

Dan Kami turunkan hujan dari langit dengan sukatan yang tertentu serta Kami tempatkannya ia tersimpan di bumi dan sesungguhnya Kami berkuasa melenyapkannya. (Al-Mukminun 23 : 18)

Katakanlah lagi : “Bagaimana pendapat kamu, sekiranya sumber air kamu menjadi kering, maka siapakah (selain Allah) yang dapat mendatangkan air yang sentiasa terpancar mengalir kepada kamu?”(Al-Mulk 67 : 30)

Ya Allah, walau apa jua ujian yang melanda, walau bagaimana kesannya pada kami dan sesiapa sahaja, tetapkanlah iman kami. Biarlah landasan kami adalah Islam-Mu Ya Allah. Hanya itu tujuan Engkau ciptakan kami. Menegakkan syiar Islam-Mu di atas muka bumi ini….

Ya Allah, selamatkan seluruh saudara Islam kami di muka bumi-Mu. Walau di ceruk alam mana pun, Engkau tempatkan mereka. Mereka dengan ujian mereka. Kami dengan ujian yang Engkau tetapkan buat kami. Bantulah kami semua dalam menghadapi itu semua. Kami semua tetap hamba-Mu. Bersatu kami dalam agama-Mu. Bersatu kami dalam doa ke hadrat-Mu….

 “Sesungguhnya kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (terhadap musuh), kelaparan, harta benda dan jiwa serta buah-buahan (hasil tanaman). Sampaikan berita gembira kepada orang yang sabar.
(Iaitu ) orang yang apabila mereka ditimpa musibah, mereka berkata, “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” (Al-Baqarah 2 : 155-156)

Ya Allah bantulah kami…
Walau siapa dan di mana kami
Hanya kepada-Mu kami meminta
Walau apa ujian dan rintangan
Selamatkanlah kami dunia dan akhirat

Segalanya milik-Mu ya Allah…

Tuesday 10 October 2017

12.0 Berhenti di Sini

Hentian pertama. Kami turun di hujung jalan di satu simpang. Masing-masing turun dari kenderaan dan membawa arah. Akhirnya kaki berpijak di bumi. Bumi yang pernah basah berendam banjir. Kesannya jelas di sana sini. Barang-barang rumah bergelimpangan di luar. Tanah becak di tepi jalan mula mengering. Debu dan habuk mula berterbangan.

Saya dikunjungi seorang makcik yang bertanyakan baju kurung. Sebenarnya, tim kami juga ada menyediakan pakaian terpakai untuk dihantar ke tempat lain. Bukan di sini tempatnya kerana kelihatan baju sudah berlambak-lambak. Untuk tidak menghampakan permintaannya, saya mengambil inisiatif untuk mengambil sepasang dua pakaian daripada bonet kereta kami. 

“Pakaian yang orang bawa sudah banyak. Pilih sahaja di surau itu.” Sambil bercakap tangannya dihalakan ke arah surau yang sangat hampir. Saya turut menoleh ke sana. Kelihatan bangunan surau bewarna hijau dengan kesan air jelas pada dindingnya.




 “Kebanyakkan baju saiznya besar, tiada saiz makcik.” Sambungnya lagi. Memang makcik ini kecil molek orangnya. Saya telah hulurkan pakaian yang juga bersaiz kecil, Insya-Allah berpadanan dan bermanfaat buatnya.

Selain itu makcik turut bercerita, “Masa banjir hari itu, kami selamatkan diri di atas jambatan. Kami makan minum dengan bekalan yang mana sempat dibawa sahaja. Malamnya juga kami cuma tidur di situ.”

Saya mendengar dengan penuh haru. Ibu siapalah ini. Tidak sanggup melihat makcik di depan mata ini bercerita begitu, apatah lagi jikalau kisah sedih begini kita dengari dari ibubapa sendiri di kala saatnya kita jauh di sisi. Mungkin kita sendiri sibuk, demi memenuhi tuntutan tugas dan tanggungjawab yang lain. Saya peluk erat makcik itu, dialah wanita yang dipilih Allah untuk diuji pada usianya yang begitu… Allahu Allah….

Seterusnya, kami didatangi seorang kakak. “Adik, boleh minta tikar?” Alhamdulillah, bekalan tikar tambahan yang dihadiahkan oleh peniaga di Bukit Bunga membolehkan kami mengagihkan kepada lebih ramai mangsa banjir. Ada penduduk yang tolong ambilkan untuk saudara dan jiran mereka yang kebetulan tiada di rumah ketika itu.




Saya melihat laluan ke rumah kakak yang bertanyakan tikar itu penuh lumpur dengan tangki air terhadang  di atas jalan. Natijahnya, laluan berkenderaan menemui jalan mati di situ. Kelihatan papan tanda bertulis PEJABAT RISDA STESEN DABONG jelas terpacak di situ.

Selain daripada apa yang mereka semua minta, Puan Azlinda dan Ustazah Maznah turut menghulurkan sebuah plastik berisi keperluan asas setiap seorang. Minyak masak, beras, kicap, budu, telur dan sebagainya diharap dapat menjadi pelengkap kepada menu ringkas mereka kelak. Kami tidak membawa lilin, toto (selimut tebal yang juga boleh dibuat alas tidur) dan peralatan sekolah. Beberapa orang lain yang menghampiri dengan tujuan mendapatkan barangan tersebut terpaksa pulang begitu sahaja.

Namun, tangan mereka tidak kosong dengan bekalan barang dapur dan juga sebidang tikar bagi yang memerlukannya. Bagi yang memerlukan telekung solat, selimut, kain batik, pelikat dan tuala ada kami sediakan. Tidak kurang juga yang bertanyakan pakaian dalam. Sungguh kasihan melihat andai permintaan mereka yang tidak kesampaian. Walaupun bantuan banyak yang sampai, adakalanya tidak mengikut saiz mereka, apatah lagi keperluan-keperluan yang agak jarang diberi perhatian.

Di sudut yang lain, di persimpangan jalan, saya melihat tim lelaki sedang berkumpul setempat. Saya melihat pakcik-pakcik asyik bercerita kepada mereka. Saya cuba hampiri dan hanya menumpang dengar dari kejauhan.




 Salah seorangnya memberitahu, “Seumur idup ambo, tidok pernoh ambo keno banjir serupo lagu ni….” Tertarik mendengar ceritanya, namun segan pula rasanya untuk turut serta di situ.

Cukuplah cerita yang saya dengar dari makcik dan beberapa orang kakak sebentar tadi. Saya terus bergerak ke tempat lain yang hampir. Saya lihat tiang api yang sepatutnya terpacak gagah, condong ke sisi dalam keadaan hampir tumbang dan terputus dua. Saya mendongak ke atas,  masya-Allah… Kerusi tersangkut di atas pokok yang tinggi!




Menapak beberapa langkah ke lorong di tepi rumah, saya melihat di depan sana, perahu kecil tersadai di atas jambatan. Tiba-tiba bau busuk menusuk-nusuk hidung… saya toleh ke kiri kanan, mencari apakah sumbernya. Sekilas kelihatan bangkai ayam tersadai di atas tanah becak. Di kaki tiang rumah yang rumahnya entah ke mana.




 Kesan ayam mati nampak di situ. Entah berapa ekorkah lagi binatang yang lain turut sama menjadi korban banjir sebelum sempat menjadi santapan di meja makan. Dalam siri gambar yang dikirim rakan, lembu juga mati tergolek. Bila diuji bencana besar begini, segala makhluk yang hidup, tanpa mengira manusia, haiwan dan tumbuhan menjadi terancam. Entah berapa hidupan yang terkorban dan musnah dalam banjir besar ini, hanya Allah Yang Tahu….

Merenung ke dalam diri. Saya berteriak sekuat suara tanpa didengari sesiapa. Hati saya bergema! ‘Ke manakah air mataku? Mana perginya gugusan air mata yang tidak henti-henti sebelum aku sampai ke sini? Keraskah hatiku? Tiada setitik air mata yang terbit melihat ini semua? Atau mungkin sudah keringkah kolam mataku?’

Rupanya, bila segalanya sudah di depan mata. Mata sudah tidak tertangis lagi. Kering sudah air mata. Semoga hati juga tidak kering. Saya berteleku seketika. Memujuk-mujuk hati. Kembali menghayati apa yang saya lihat. Ya Allah, tidak terucap dengan kata-kata lagi…

Akhirnya, dalam keterpaksaan… Dalam proses melembutkan hati yang keras… Mata kalah akhirnya. Tik! Bukan rintik hujan dari langit. Mata menjadi saksi kepada sekeping hati. Sekeping hati yang perlu basah dan lunak, perlu melihat apa yang tersurat dan apa yang tersirat. Betapa besarnya kuasa-Mu Ya Allah…

‘Kesiannya mereka Ya Allah… Tabahnya hati-hati mereka yang diuji itu. Tolonglah mereka Ya Allah. Tolonglah kami juga dalam menempuh hidup di dunia ini. Mereka telah diuji dengan cara mereka. Selamatkanlah kami semua dari ujian yang tidak mampu kami tanggung. Hanya kepada-Mu kami berserah. Dunia ini tidak bernilai apa-apa. Sekelip mata Engkau hilangkan segalanya, Ya Allah….’

Saya menoleh ke kiri berhampiran kepala jambatan, hanya khemah di pasang mengganti bumbung rumah yang entah ke mana. Rumah sudah tinggal separuh. Alhamdulillah, masih ada ruang yang Allah berikan untuk mereka terus memeriahkan bumi Allah ini. Dalam bercerita, mereka masih mampu tersenyum. Dalam berduka, mereka masih mampu bercerita… Allahu Allah…..

Sejenak saya mengkoreksi diri, saya hanyut lagi. Tambahan pula, anak kecil sudah didukung suami. Beliau dan  rakan-rakan masih berkumpul meraikan pakcik yang bercerita itu ini. Cerita yang sepatutnya sedih, diceritakan seperti berkongsi berita gembira. Suka hatinya ada yang sudi mendengar.


Sukahati nampaknya penduduk kampung bila ada orang jauh datang merisik khabar. Gembiranya mereka kerana masih mampu berdiri di situ dengan semangat yang tidak luntur. Namun, dalam hati mereka, hanya Allah yang Tahu…. Berat mata yang memandang, berat lagi bahu yang memikul. Sayu hati insan yang hanya mendengar sahaja, sayu lagi hati dan jiwa insan yang berkata dari apa yang dirasa…. Allahu Allah….  

Monday 9 October 2017

11. Roda terus berputar

Tim ILTIM berhenti berjemaah di masjid, melengkapkan keperluan rohani setelah keperluan fizikal sama-sama dilunasi. Bekalan akhirat untuk diri sendiri mesti dipastikan cukup mengikut piawai sebelum menghulurkan bantuan bekalan dunia untuk mangsa banjir. Pentingkan diri sendiri dalam urusan akhirat. Susah di dunia, ramai yang membantu dan menolong. Susah di akhirat, tinggal kita sendiri terpekik terlolong. Nauzubillahi min zaalik.

Setelah segalanya selesai, perjalanan diteruskan. Menyaksikan kesan-kesan banjir yang semakin jelas di depan, tahulah kami bahawa perjalanan kami hampir sampai ke destinasi yang ditunggu-tunggu. Betapa jauhnya berjalan, lamanya masa yang diambil. Hati semakin tidak sabar untuk menjejakkan kaki ke bumi musibah. Tidak tahu apa yang mahu terluah. Saya berazam tidak mahu bercakap banyak. Yang penting, dengar! Saya ingin lihat dan dengar….

Alhamdulillah… Kereta memasuki simpang. Landasan keretapi yang musnah dan terbengkalai jelas kelihatan di bawah jambatan tinggi yang sedang kami lalui. Hati cukup terusik. Satu waktu dahulu, ketika zaman belajar di Kuala Lumpur, saya pernah menaiki keretapi melalui kawasan itu sewaktu mengikut kawan, Wan Nora yang pulang bercuti ke rumahnya di Ketereh, Kelantan. Aduh! Sedih sekali melihat nadi utama rakyat yang memerlukan khidmat keretapi telah lumpuh!





Memasuki kawasan perumahan, hati semakin rawan. Tidak sanggup melihat kesan-kesan yang sebegitu. Walaupun gambarannya sudah dapat diagak bila kerapkali menyaksikan gambar-gambar yang dikongsi rakan-rakan, hati masih tertanya-tanya. ‘Adakah sampai begini sekali. Bagaimana mereka menyelamatkan diri. Pelbagai soalan menusuk kotak fikiran…’




Kelihatan ramai mangsa banjir yang sudah pulang ke kediaman masing-masing memandangkan sudah hampir dua minggu musibah berlalu. Terdapat juga di kalangan mereka yang sedang menunggu di tepian jalan dan tidak kurang yang sibuk lalu lalang dengan menaiki motorsikal dan berjalan kaki.  

Di masjid pun ada juga yang menunggu. Rupanya, ada kenderaan yang sedang berhenti di situ. Bagi sukarelawan banjir yang datang membantu dan tidak tahu pula arah rumah siapa yang mahu dituju, langkah mudah adalah dengan berhenti di masjid. Penduduk kampung seolah sudah tahu. Itulah tempat yang perlu dituju!




Kelihatan permaidani dijemur bersalut lumpur tersidai di pagar masjid. Entah bila baru dapat diguna semula atau mungkin dek kotorannya yang degil permaidani yang berjasa itu akan dibuang begitu sahaja. Berganti barukah permaidani masjid kelak?

Walau tiada permaidani, tabir dan sejadah, masjid tetap masih berfungsi. Walau pun mungkin belum cukup kondusif untuk bersolat dan berjemaah, fungsi masjid tetap tidak dinafikan. Walau pun turut terjejas disimbah banjir,  masjid tetap menjadi tempat berkumpul. Apa sahaja urusan! Masjid institusi utama umat Islam….

Pelbagai grup dari segenap ceruk Malaysia datang menghulur sumbangan. Kelihatan cukup meriah! Kami teruskan perjalanan. Belum ada isyarat untuk menghentikan pemanduan. Ada penduduk yang kelihatan seolah kecewa yang melihat kami hanya lalu begitu sahaja.

 Andainya kami berhenti di situ, mungkin akan ada yang mengerumuni seperti mana yang kelihatan di pinggir-pinggir jalan. Mereka segera datang bertanya sebarang keperluan yang masih belum ada atau barangan yang sudah habis dalam stok mereka. “Ada bawa lilin atau tidak ? Ada tikarkah? Toto ada?”

Pelbagai soalan diaju, jika ada dibawa mereka akan dapat, jika tiada, tunggu dan tunggu lagi. Mungkin grup dari tim lain yang akan bawa. Begitulah kesukaran yang mereka hadapi. Walaupun sudah kembali ke rumah sendiri. Segala-galanya masih kurang di situ sini. Untuk membersihkan rumah pun mereka bermasaalah. Bekalan elektrik masih tiada. Bekalan air juga terhad.





Dalam melalui lorong demi lorong, kami terserempak dengan lori yang membawa tangki air, mungkin sebagai bekalan air bersih kepada penduduk setempat. Kelihatan sudah ada penduduk yang memasak, mungkin secara ala kadar di bahagian luar rumah. Apa sudah jadi dengan ruang dapur rumah, wallahu a’lam. Pelbagai kemungkinan. Ada rumah yang rosak teruk, ada rumah yang beralih tempat dan tidak kurang rumah yang hilang terus. Inilah ujian andai terjadi pada diri kita, mampukah kita setabah mereka….

Tempat jatuh lagi dikenang, inikan rumah tempat beristirehat. Tentunya segala kenangan bersama keluarga saat makan bersama, berehat bersantai di ruang tamu dan tidur selesa, tinggal menjadi kenangan sahaja. Apa yang mereka alami adalah mimpi ngeri. Makan tidak menentu, tidur sekadar melelapkan mata dan hidup bersumberkan bantuan yang datang. Sungguh syahdu! Bayangkan, andai kita! Andai kita yang berganti tempat dengan mereka.

Apa jadi dengan orang tua dan anak kecil. Pergerakan terhad, apatah lagi bagi mereka yang jatuh sakit dan tidak sihat fizikal. Bebanan emosi terlalu berat untuk mereka tanggung! Namun, mereka gagah. Mereka gagah jiwa. Mereka masih tersenyum manis, salam bersapa. Masih cantik mengenakan tudung bagi kaum hawa. Masih sopan menutup aurat lelaki dan perempuan. Mereka diuji dan mereka dibantu oleh Allah. Allah datangkan pertolongan dari pelbagai sumber. Mereka diuji atas kapasiti mereka, insya-Allah…

Barisan kereta terus bergerak perlahan. Padang sekolah kami lewati. Tiada lagi padang hijau tempat bermain. Seluas-luas padang itu semuanya bersalut lumpur, berwarna coklat! Lautan banjir menenggelamkan padang dan sekolah. Andainya padang yang kotor, sukarnya masalah yang ditanggung tidak seperti kotornya bilik darjah. Agaknya berapa puluh kelas yang perlu dicuci sebelum memulakan alam persekolahan.





Alhamdulillah, atas dasar prihatin Kementerian Pelajaran Malaysia, penggal persekolahan bagi tahun 2015 dilewatkan satu minggu. Peluang ini juga saya berkesempatan mengajak anak-anak turut serta dalam misi ini memandangkan tarikhnya jatuh pada hari Ahad, hari sepatutnya mereka pergi ke sekolah. Saya turut sertakan dua helai kain sekolah menengah milik anak perempuan saya, Mukminah. Pertukaran sekolah agama pilihan yang dibuat pada saat akhir menetapkan warna kain sekolah yang berlainan daripada apa yang telah siap dibeli.

Mungkin Allah sudah tetapkan kain sekolah baru ini menjadi rezeki kepada mangsa banjir yang mahu memulakan sekolah kelak. Mereka bukan sahaja perlukan pakaian sekolah, bahkan segala kelengkapan sekolah lain yang musnah perlu berganti baru. Beg sekolah, kasut, buku dan sebagainya. Terlalu banyak! Semoga dengan pertolongan insan-insan perihatin yang menjalankan pelbagai kempen dapat membantu anak-anak ini untuk meneruskan sesi persekolahan mereka.

Segalanya dalam perancangan Allah yang terkandung hikmah!



Sunday 8 October 2017

10.0 Ibrah Sepanjang Jalan.

Kereta kami kembali menyusur di atas jalan raya. Pemanduan tenang diiring cuaca yang redup dan damai. Hati sangat seronok melihat suasana cuaca yang begitu baik pada musim-musim banjir begitu. Alhamdulillah… Moga cerahnya sampai ke petang.


“Auliya, tolong berikan sudu pada emak. Emak mahu sapukan pada roti untuk ayah. Orang lain buat sendiri ya…” Auliya mula sibuk tercari-cari. Tiada! Sudah saya kenal sangat, perangai anak perempuan kecil saya yang seorang ini. Jika diberikannya sesuatu, jika tidak diulang tanya, maka tertinggallah sudahnya! Dia ambil, dan dia tinggalkan semula… Bila ada hal lain yang disibukkan, dia lupakan perkara yang sebelumnya. Sebenarnya, itu lumrah yang biasa berlaku kepada saya juga….

Saya juga sedikit yakin, perkara seperti itu turut berlaku kepada saudara saya yang lain. Tidak mustahil juga pada saudara yang sedang membaca ini. Allah datangkan ilmunya melalui anak kecil, sedangkan kita yang tua juga tiada bezanya. Kita kejar dunia, sehingga kita lupa akhirat. Kita sibuk dengan kerja di tangan, kita lupa hingga solat dianjakkan waktu.

Lagi teruk, andainya kita hanyut dalam kelalaian, solat ditinggal terus tanpa rasa malu pada diri sendiri apatah lagi pada empunya diri kita, Allah Yang Satu. Nauzubillahi min zaalik! Itu realiti yang banyak berlaku dalam dunia akhir zaman hari ini. Jikalau mungkin bukan pada diri kita sekali pun, mungkin juga pada orang sekeliling kita. Tugas kita semua untuk saling menyedarkan antara satu sama lain. Lupa sesaat, kesannya sampai akhirat.

Pernah suatu hari, Auliya salahkan saya di atas sifat pelupanya itu. Katanya, “Saya ikut perangai emak...” Masya-Allah! Betapa anak sekecil itu juga pandai meletakkan beban kesalahan kepada orang tuanya. Tersentak saya dibuatnya. Kalau anak sendiri menyalahkan ibu bapanya dalam tindakannya, apatah lagi masyarakat sekeliling. Itulah sememangnya!

Saya yang pernah belajar dalam aliran Sains Genetik, tidak pernah pula terfikir sifat pelupa itu diwariskan semudah itu. Segera saya nasihati dia, bimbang diambil mudah dengan sifatnya itu. Apatah lagi beriya-iya dia meyakinkan saya dengan alasannya yang dianggap kukuh. Apa pun alasan, sebagai ibu, saya bertanggungjawab memperbetulkan keadaan. 

Segera saya nasihatinya. “Emak sudah tua. Orang tua mudah lupa. Auliya masih muda, kecil lagi. Masa emak umur sebaya Auliya dulu, tidak adanya emak lupa-lupa selalu…”

Perjalanan hidup masih jauh wahai anak. Antara lapan dan 40 tahun itu bukan sedikit jarak beza usianya. Begitu juga kita semua. Andai masih ada ruang dan waktu untuk kita sampai kepada umur 60 tahun, umur yang biasanya diperuntukkan untuk umat Nabi Muhammad SAW, manfaatkanlah dengan kebaikan… Andainya terhenti pada bila-bila masa setiba saatnya yang tidak cepat dan tidak lambat, semoga kita mati dalam kebaikan dan penghujung yang baik jua….

Bergerak dan terus bergerak. Roda terus berputar di atas jalan raya. Hentian pertama kami berhampiran daerah Pasir Putih. Ustazah Maznah naik di situ. Bersamanya pelbagai barangan dan bekalan yang dimuatkan ke atas kenderaan Ustaz Raja. Baik sungguh budinya, sudi menawarkan diri menyediakan meehoon goreng. Dimasaknya sendiri, air tangan seorang ustazah! Meehoon yang siap dibungkus ini akan diagihkan kelak kepada mangsa banjir. Puan Azlinda mula berteman. Kedua mereka adalah staf wanita  ILTIM yang sangat ‘sporting’.

Di Machang, sekali lagi tim ILTIM singgah sebentar. Setiap kenderaan dibekalkan dengan ‘walkie-talkie’ bagi memudahkan urusan. Segala maklumat semasa dimaklumkan. Berhenti di mana, perlu buat apa dan sebagainya. Saya dan anak-anak tidak turun dari kereta. Hanya suami mendekati ahli pasukannya yang lain.

Staf ILTIM, Ustaz Saidi sekeluarga naik di situ, memenuhkan van Pregio yang masih kosong. Keretanya ditinggalkan sahaja di kawasan parkir berhampiran. Lebih mudah begitu, kurangkan kenderaan di atas jalan. Melancarkan pergerakan kami dan mengurangkan kesesakan jalan raya….

Sebelum kereta kami bergerak semula, Encik Sabri datang menghampiri dengan segugus ‘pop-corn’ di tangan. Sambil senyum, tangannya menghulur, “Ambillah…”. Saya lembut menolak, ‘Tidak mengapalah, tidak perlu. Terima kasih.” Saya berbasa basi.

Beliau terus beria-ia memberi. Untuk tidak mengecilkan hatinya, lantas saya menyambut. “Okeylah, kami ambil dua bungkus, sudah cukup.” Memandai-mandai pula saya meminta dua, padahal sebungkus sahaja sudah memadai untuk dikongsi-kongsi.

Saya malu sendiri bila Encik Sabri, dengan masih tersenyum menghulur semuanya. “Ambillah bawa masuk kereta. Kelak nanti mahu diagihkan kepada anak-anak mangsa banjir. Kalau mahu makan, ambil sahaja, ya!...”

Malu! Malu! Malu… Hanya itu yang saya rasa. Salah faham rupanya. Kalau tahu begitu, awal-awal lagi saya ambil sahaja masukkan ke dalam kereta saya yang masih ada sedikit ruang kosong. Untuk menghilangkan rasa malu yang tidak diundang, saya cepat-cepat menuruni kereta dan menyambut pemberiannya.

Pura-pura pula mengambil gambar ‘pop-corn’ tersebut. Alahai! Melihat saya bersusah-susah cuba menfokus gambar sambil memegang sejambak ‘pop-corn’ di tangan, Puan Azlinda menwarkan diri untuk membantu pula. Lucunya, saya juga difokusnya sama. Melihatnya sekilas, saya tergelak. Lagaknya seperti penjual di tepi jalan…

 
Berjalan lagi, kemudian berhenti lagi. Bila mahu sampai agaknya. Mentari sudah mula meninggi. Singgah di Bukit Bunga, kami mengisi minyak. Bukan minyak kereta, tetapi perut yang semakin berkeroncong. Lauk tengahari menjadi hidangan. Di situ, banyak pula beras yang dibeli dan dinaikkan ke atas kenderaan. Bukan itu sahaja, kami dihampiri oleh tuan kedai berhampiran dengan kawasan kami memakirkan kereta.

Benar sekali, rezeki Allah datang tidak disangka-sangka. Melihat kenderaan yang penuh diisi muatan, para penjual di situ sudah dapat meneka ke mana arah perjalanan kami. Pemilik kedai keropok berhampiran, datang menawarkan pelbagai barangan. Minyak masak, tikar dan sebagainya diambilnya dari deretan kedai berhampiran dan diserahkan kepada tim kami. Percuma! Ya Allah… saya menyaksikan sendiri di depan mata, kebaikan budi insan mulia ini.

Katanya, barangan tersebut menjadi keperluan utama kepada mangsa banjir. Mereka amat perlukan. Semoga Allah murahkan rezeki mereka yang tidak pernah lokek menyumbang walaupun tidak pernah kenal. Namun, kita semua tetap kenal sebagai saudara seagama. Yang sama-sama merasa susah bila saudaranya yang lain diuji bencana.




Kenderaan bertambah sarat, terutamanya kenderaan yang dinaiki Ustaz Raja. Dipertengahan jalan, gerimis merintik. Saya melihat sekali lagi keindahan budi insan prihatin. Kesemua ahli kenderaan pacuan empat roda keluar dari kereta yang tiba-tiba diparkir di tepi jalan. Oleh kerana, hanya kenderaan kami yang mengekori, suami turut berhenti sama.




 Semua barangan yang berisiko basah dimasukkan ke dalam plastik hitam supaya tidak terkesan dengan rintik-rintik hujan yang turun. Kenderaan tiada berbumbung, langkah berjaga-jaga perlu diambil agar barangan yang dibawa tidak basah lencun andai hujan semakin lebat. Alhamdulillah perjalanan diteruskan dalam cuaca yang baik. Akhirnya, kami singgah lagi di Kampung Bukit Jering.

Kediaman seorang warga kampung disinggah. Seorang ustaz, yang juga imam masjid di kampung itu, turut serta menanti di situ. Belia mengambil tanggungjawab untuk menguruskan pengagihan barang-barang yang dibawa merangkap akan bertindak sebagai penunjuk arah, rumah dan kawasan mana yang mahu dituju kelak.

Barang-barang yang dibeli dan belum sempat diasing-asingkan dibuka dan dibungkus semula untuk diserahkan mengikut keluarga. Bungkusan besar dikecilkan agar barangan dapat diagih kepada lebih ramai keluarga. Biar sedikit asal ramai yang dapat. Suasana menjadi meriah pula dengan sesi tolong menolong. Anak-anak saya turut menyumbang tenaga. Kemuafakatan dan semangat kerja berpasukan jelas ditunjukkan oleh ahli konvoi, pak imam dan tuan rumah juga.






Kami turut merasa sedikit bersalah apabila tuan rumah beriya pula menghidang minuman. Kami mendapat tahu, mereka di situ turut terkesan dengan musibah banjir apabila bekalan air bersih tidak dapat masuk ke tangki rumah. Mereka mengumpul air dari sumber yang dibekalkan untuk dijadikan stok kegunaan dalam rumah bagi sebarang tujuan. Sesudah itu, kami juga berterima kasih kepada tuan rumah yang sudi menjadikan rumahnya sebagai markaz sementara buat kami semua.

Sebelum betul-betul menuju ke destinasi yang dituju, sekali lagi kenderaan dilencongkan dan dihalakan ke arah masjid berhampiran. Urusan akhirat perlu diselesaikan. Hubungan dengan Pencipta perlu dijaga dalam usaha menjaga hubungan sesama manusia. HablumminAllah, hamblumminannas.


Begitulah hidup kita sehari-hari. Kita tolong diri kita dan kita tolong orang sekeliling kita. Jangan kita hanya menolong orang, diri sendiri tidak terjaga. Solat itu yang  utama buat diri kita. Bekalan Akhirat juga yang kekal selamanya….