Monday 9 October 2017

11. Roda terus berputar

Tim ILTIM berhenti berjemaah di masjid, melengkapkan keperluan rohani setelah keperluan fizikal sama-sama dilunasi. Bekalan akhirat untuk diri sendiri mesti dipastikan cukup mengikut piawai sebelum menghulurkan bantuan bekalan dunia untuk mangsa banjir. Pentingkan diri sendiri dalam urusan akhirat. Susah di dunia, ramai yang membantu dan menolong. Susah di akhirat, tinggal kita sendiri terpekik terlolong. Nauzubillahi min zaalik.

Setelah segalanya selesai, perjalanan diteruskan. Menyaksikan kesan-kesan banjir yang semakin jelas di depan, tahulah kami bahawa perjalanan kami hampir sampai ke destinasi yang ditunggu-tunggu. Betapa jauhnya berjalan, lamanya masa yang diambil. Hati semakin tidak sabar untuk menjejakkan kaki ke bumi musibah. Tidak tahu apa yang mahu terluah. Saya berazam tidak mahu bercakap banyak. Yang penting, dengar! Saya ingin lihat dan dengar….

Alhamdulillah… Kereta memasuki simpang. Landasan keretapi yang musnah dan terbengkalai jelas kelihatan di bawah jambatan tinggi yang sedang kami lalui. Hati cukup terusik. Satu waktu dahulu, ketika zaman belajar di Kuala Lumpur, saya pernah menaiki keretapi melalui kawasan itu sewaktu mengikut kawan, Wan Nora yang pulang bercuti ke rumahnya di Ketereh, Kelantan. Aduh! Sedih sekali melihat nadi utama rakyat yang memerlukan khidmat keretapi telah lumpuh!





Memasuki kawasan perumahan, hati semakin rawan. Tidak sanggup melihat kesan-kesan yang sebegitu. Walaupun gambarannya sudah dapat diagak bila kerapkali menyaksikan gambar-gambar yang dikongsi rakan-rakan, hati masih tertanya-tanya. ‘Adakah sampai begini sekali. Bagaimana mereka menyelamatkan diri. Pelbagai soalan menusuk kotak fikiran…’




Kelihatan ramai mangsa banjir yang sudah pulang ke kediaman masing-masing memandangkan sudah hampir dua minggu musibah berlalu. Terdapat juga di kalangan mereka yang sedang menunggu di tepian jalan dan tidak kurang yang sibuk lalu lalang dengan menaiki motorsikal dan berjalan kaki.  

Di masjid pun ada juga yang menunggu. Rupanya, ada kenderaan yang sedang berhenti di situ. Bagi sukarelawan banjir yang datang membantu dan tidak tahu pula arah rumah siapa yang mahu dituju, langkah mudah adalah dengan berhenti di masjid. Penduduk kampung seolah sudah tahu. Itulah tempat yang perlu dituju!




Kelihatan permaidani dijemur bersalut lumpur tersidai di pagar masjid. Entah bila baru dapat diguna semula atau mungkin dek kotorannya yang degil permaidani yang berjasa itu akan dibuang begitu sahaja. Berganti barukah permaidani masjid kelak?

Walau tiada permaidani, tabir dan sejadah, masjid tetap masih berfungsi. Walau pun mungkin belum cukup kondusif untuk bersolat dan berjemaah, fungsi masjid tetap tidak dinafikan. Walau pun turut terjejas disimbah banjir,  masjid tetap menjadi tempat berkumpul. Apa sahaja urusan! Masjid institusi utama umat Islam….

Pelbagai grup dari segenap ceruk Malaysia datang menghulur sumbangan. Kelihatan cukup meriah! Kami teruskan perjalanan. Belum ada isyarat untuk menghentikan pemanduan. Ada penduduk yang kelihatan seolah kecewa yang melihat kami hanya lalu begitu sahaja.

 Andainya kami berhenti di situ, mungkin akan ada yang mengerumuni seperti mana yang kelihatan di pinggir-pinggir jalan. Mereka segera datang bertanya sebarang keperluan yang masih belum ada atau barangan yang sudah habis dalam stok mereka. “Ada bawa lilin atau tidak ? Ada tikarkah? Toto ada?”

Pelbagai soalan diaju, jika ada dibawa mereka akan dapat, jika tiada, tunggu dan tunggu lagi. Mungkin grup dari tim lain yang akan bawa. Begitulah kesukaran yang mereka hadapi. Walaupun sudah kembali ke rumah sendiri. Segala-galanya masih kurang di situ sini. Untuk membersihkan rumah pun mereka bermasaalah. Bekalan elektrik masih tiada. Bekalan air juga terhad.





Dalam melalui lorong demi lorong, kami terserempak dengan lori yang membawa tangki air, mungkin sebagai bekalan air bersih kepada penduduk setempat. Kelihatan sudah ada penduduk yang memasak, mungkin secara ala kadar di bahagian luar rumah. Apa sudah jadi dengan ruang dapur rumah, wallahu a’lam. Pelbagai kemungkinan. Ada rumah yang rosak teruk, ada rumah yang beralih tempat dan tidak kurang rumah yang hilang terus. Inilah ujian andai terjadi pada diri kita, mampukah kita setabah mereka….

Tempat jatuh lagi dikenang, inikan rumah tempat beristirehat. Tentunya segala kenangan bersama keluarga saat makan bersama, berehat bersantai di ruang tamu dan tidur selesa, tinggal menjadi kenangan sahaja. Apa yang mereka alami adalah mimpi ngeri. Makan tidak menentu, tidur sekadar melelapkan mata dan hidup bersumberkan bantuan yang datang. Sungguh syahdu! Bayangkan, andai kita! Andai kita yang berganti tempat dengan mereka.

Apa jadi dengan orang tua dan anak kecil. Pergerakan terhad, apatah lagi bagi mereka yang jatuh sakit dan tidak sihat fizikal. Bebanan emosi terlalu berat untuk mereka tanggung! Namun, mereka gagah. Mereka gagah jiwa. Mereka masih tersenyum manis, salam bersapa. Masih cantik mengenakan tudung bagi kaum hawa. Masih sopan menutup aurat lelaki dan perempuan. Mereka diuji dan mereka dibantu oleh Allah. Allah datangkan pertolongan dari pelbagai sumber. Mereka diuji atas kapasiti mereka, insya-Allah…

Barisan kereta terus bergerak perlahan. Padang sekolah kami lewati. Tiada lagi padang hijau tempat bermain. Seluas-luas padang itu semuanya bersalut lumpur, berwarna coklat! Lautan banjir menenggelamkan padang dan sekolah. Andainya padang yang kotor, sukarnya masalah yang ditanggung tidak seperti kotornya bilik darjah. Agaknya berapa puluh kelas yang perlu dicuci sebelum memulakan alam persekolahan.





Alhamdulillah, atas dasar prihatin Kementerian Pelajaran Malaysia, penggal persekolahan bagi tahun 2015 dilewatkan satu minggu. Peluang ini juga saya berkesempatan mengajak anak-anak turut serta dalam misi ini memandangkan tarikhnya jatuh pada hari Ahad, hari sepatutnya mereka pergi ke sekolah. Saya turut sertakan dua helai kain sekolah menengah milik anak perempuan saya, Mukminah. Pertukaran sekolah agama pilihan yang dibuat pada saat akhir menetapkan warna kain sekolah yang berlainan daripada apa yang telah siap dibeli.

Mungkin Allah sudah tetapkan kain sekolah baru ini menjadi rezeki kepada mangsa banjir yang mahu memulakan sekolah kelak. Mereka bukan sahaja perlukan pakaian sekolah, bahkan segala kelengkapan sekolah lain yang musnah perlu berganti baru. Beg sekolah, kasut, buku dan sebagainya. Terlalu banyak! Semoga dengan pertolongan insan-insan perihatin yang menjalankan pelbagai kempen dapat membantu anak-anak ini untuk meneruskan sesi persekolahan mereka.

Segalanya dalam perancangan Allah yang terkandung hikmah!



No comments:

Post a Comment