Pasca banjir yang huru-hara. Air yang membanjiri setinggi pohon
kelapa mengubah segalanya. Bukan sahaja muka bumi yang berubah rupa, tapi gaya
fikir manusia turut sama berubah toleransi dan persepsi.
Paradigma orang lama bukan pegangan wajib. Boleh berubah mengikut
suasana. Bila terpaksa, apa sahaja boleh berubah sekelip mata. Moga ianya tidak
sampai menjejas iman dan taqwa. Selagi dibolehkan agama apa salahnya, namun
jangan pula sampai menambah dosa.
Saya melihat gambar yang dikongsi di laman maya. Sekumpulan lelaki
berbaju kurung. “Maaf ustaz, ini sahaja baju yang kami ada.”, begitulah ujar
mereka kepada sukarelawan yang datang membantu.
Benarlah, hanya pakaian itu mereka yang ada, hasil sumbangan orang
ramai. Pakaian terpakai yang melambak, majoritinya ialah baju wanita. Baju
lelaki terhad agaknya kerana mungkin lebih ramai wanita yang menyumbang.
Inilah juga masanya misi mengosongkan almari. Biasanya, wanita
memang sinonim dengan dengan baju berlori-lori. Bagi satu, boleh tambah sepuluh
lagi. Walaupun begitu tidak saya nafikan, ada juga insan-insan mulia yang
sangat ikhlas ingin membantu hingga sanggup melepaskan keperluan mereka
sendiri. Pakaian yang masih perlu disarungkan ke tubuh, itulah juga yang hanya
mampu diberi.
Saya juga ada terbaca di laman maya, yang mana seorang pelajar
Timur Tengah menghadiahkan sebentuk cincin sebagai sumbangan kepada mangsa
banjir. Ya Allah… Sampai tahap itu, insan mulia bernama manusia ingin membantu
sesama manusia. Betapa luhur jiwanya melepaskan hiasan di jari kepada mangsa
banjir yang lebih memerlukan untuk ditukar ganti dengan wang ringgit. Nilainya
melebihi harga emas itu sendiri. Moga Allah ganjari hiasan emas dan permata di
syurga buatnya.
Sementara itu, Puan Zarin juga turut berkongsi cerita tentang sumbangan
yang dihantar oleh pelbagai pihak dari segenap pelusuk di sana sini. Tugasnya
pula mengagihkannya di sekitar Tanah Merah. Tiap-tiap hari ada sahaja berita
yang dikongsinya di laman maya. Sukarelawanita yang tidak pernah kenal penat
dan lelah. Dalam banyak kisah, terselit juga kisah lucu seorang pakcik penjaga
masjid. Lucu lucu juga, namun hati tetap tersentuh jua…
“Jange suko kakmbo, ambo takdok baju doh…” (Jangan ketawakan
saya. Saya sudah tiada baju. ) Luah pakcik tersebut itu kepada Puan Zarin.
Kebetulan pula ketika itu, Puan Zarin sedang dalam jelajahnya
menyampaikan misi bantuan dari orang ramai untuk mangsa banjir. Beliau yang
sedang mencari-cari kawasan liputan talian, terus mengongsikan gambar pakcik
tersebut di laman maya. Tidak lupa dia berjanji dengan pakcik bertuah itu untuk
datang kembali di sebelah petangnya membawa baju yang bersesuaian.
Apa yang jelas di mata, pakcik itu sendiri yang merupakan mangsa
banjir turut tidak duduk diam. Dalam keadaan berbaju kurung begitu, pakcik ini
masih ke masjid menunaikan tugasnya. Betapa dalam susah, insan mulia ini masih
tidak lupa tanggung jawab terhadap Tuhan dan agama. Moga Allah berkati…
Di sana sini, masing-masing tidak lepas tangan cuba membantu sedaya
upaya setakat terdaya. Selain gambar demi gambar kemusnahan yang dikongsi
sahabat di laman maya, misi bantuan banjir tidak dilupakan. Hati kian hiba
melihatkan kesungguhan rakyat Malaysia turun membantu tidak kira tua atau muda.
Mereka sama sahaja berlumba-lumba membuat pahala.
Saya menyedari Hikmah juga sudah mula pulang menjenguk ke rumah.
Dikongsinya beberapa gambar di laman maya. Aduh! Tabahnya mereka yang berdepan
dengan semua itu. Begitu juga mereka yang lain, asyik berkongsi pengalaman dan
menyebarkan maklumat. Izzah juga sudah mula dapat dapat menghubungi kami
melalui kumpulan sosial. Memohon sahabat agar dia didoakan dengan ketabahan dan
kekuatan.
Melihat gambar yang dikongsi mereka semua, rasanya tidak logik sekali
perkara sebegini berlaku di bumi Malaysia. Sekelip mata, segalanyanya berubah. Kali
ini, bukan sahaja sekali bah sekali pantai berubah, bahkan seluruh muka bumi
tidak kira padang atau lembah. Berubah dan terus berbeza. Tidak lagi seperti
sebelumnya. Hancur musnah menyembah bumi…
Umpama tsunami, tiada bezanya. Sungguh, andai terkena batang tubuh
sendiri, tidak sanggupnya berperang perasaan untuk menerima segalanya semudah
hanya bersabar! Ya Allah, benarlah
mereka yang diuji itu insan terpilih. Insan pilihan yang Insya-Allah mampu
meraih pahala sabar sebagaimana yang dijanjikan Allah SWT.
Episod tsunami yang melanda negara jiran, Indonesia pada akhir
Disember 2004 kembali menerjah minda masyarakat Malaysia. Kisah 10 tahun lalu
kembali diperkata dan dibandingkan. Kini Acheh sudah kembali membangun. Moga
hikmahnya, 10 tahun akan datang, bumi yang disimbah bah besar ini akan kembali
segar membangun dengan lebih baik lagi… Insya-Allah.
‘Kuatnya jiwa mereka menahan sabar, menerima apa yang ditaqdirkan-Mu,
Ya Allah.’
Bahkan, mereka masih mampu mengukir senyum, meluah kata semangat
menyuntik jiwa. Mereka susah, tapi masih mampu menyenangkan hati orang lain.
Tidak lama selepas itu, saya terbaca pula luahan penuh ikhlas dari
Hikmah di laman mayanya. Coretan bersahaja yang cukup menyentap tangkai hati
dan meluruhkan jantung! Paradigma saya terhadap sumbangan pakaian terpakai terus
berubah seratus peratus sekelip mata. Jiwa meronta ingin menyumbang setakat terdaya.
Apa sahaja! Insya-Allah…
Menitis air mata! Walaupun tidak banjir di pipi, cukup bah besar
melanda hati dan perasaan. Sebegitu mereka merayu. Sangat memerlukan! Ya,
mereka sangat memerlukan walau pun pakaian lusuh. Masya-Allah… Ini bukan banjir
biasa-biasa seperti sebelum-sebelum ini. Ini bukan masalah biasa-biasa seperti
mereka yang lain sebelum ini. Ini masalah besar! Ini masalah negara! Ini
masalah agama!
Terima kasih Hikmah, patukan aksaramu pada papan kekunci menjalar
ke sanubari, mematuk-matuk jiwa kami … Tiada telekung, bagaimana mahu solat.
Tiada pakaian menutup aurat, macam mana mahu keluar rumah.
‘Ya Allah… sebegitu sekali mereka berdepan masalah. Kalau sudah
sehelai sepinggang, bagaimana mahu itu ini…’ Hati saya berbisik perlahan.
‘Berilah apa sahaja. Kain lusuh kain baru. Baju buruk baju baru.
Telekung lama telekung baru… mereka akan terima. Insya-Allah. Jangan malu-malu.
Jangan segan-segan.’
Mereka perlukan. Lusuh, buruk atau lama sekali pun, lebih baik dari tiada… Something is better
than nothing!… Ya, itulah hakikatnya. Saya memasang niat untuk menyelongkar
semula koleksi jubah dan tudung labuh yang tersimpan lama tidak dipakai.
Sengaja saya menunggu untuk dititipkan kepada si anak dara yang
sedang membesar. Sebahagian jubah sudah mula disarungkannya… Itulah dunia yang
berputar. Ibu yang sedang menua. Anak yang sedang membesar. Dunia terus berubah
dan kian tua…
Bumi sudah hampir berhenti berputar. Matahari kian condong. Kalau
tidak sekarang, bila lagi mahu bertindak. Dunia ladang pahala. Jangan perlu
tunggu matahari naik dari sebelah barat. Segalanya sudah terlambat. Apatah lagi
nyawa kita tiada isyarat. Bila-bila masanya boleh pergi meninggalkan jasad.
Selagi nyawa dikandung badan, selagi itulah kita cuba jadikan
segala amalan sekali pun biasa-biasa sahaja sebagai ibadat. Niat menjadi
syarat. Pandangan Allah itu yang utama. Pandangan manusia bukan ukuran. Riak
dan takbur umpama ulat yang memakan mangsa yang sihat. Perasan sihat tapi
sebenarnya sakit. Perasan baik rupanya hati berpenyakit. Nauzubillahi min
zaalik…
Moga kita dijauhkan dari segala niat jahat dan sanjungan orang.
Sama-sama kita doakan dan cuba sedaya upaya ikhlaskan diri hanya kerana-Nya,
Allah SWT. Tiada yang lain!
No comments:
Post a Comment