Alhamdulillah, setelah sekian lama menunggu, saat yang
dinanti-nantikan tiba jua. Tiada kata seindah bahasa yang dapat dilafazkan
melainkan puji dan puja ke hadrat Yang Esa. Dia yang mengizinkan segalanya
berlaku dengan Kehendak-Nya jua….
8.30 pagi seperti yang dijanjikan oleh Tim ILTIM, kami berkumpul di
pejabat asrama. Segala barang-barang dipunggah masuk ke dalam empat kenderaan
termasuk kereta tua kami. Ustaz Raja memulakan ucapan dan mohon dilantikkan
seorang ketua yang mengepalai urusan. Serentak dan sepakat, Ustaz Raja juga
dipilih memandangkan beliaulah orangnya yang telah memulakan tugasan sejak
awal.
“Apabila keluar tiga orang dalam bermusafir maka hendaklah dilantik
seorang ketua.” (Hadis Riwayat Abu Daud)
Doa dipanjatkan ke hadrat Allah SWT agar segala urusan berjalan
lancar dan mudah. Satu-satunya staf wanita, Puan Azlinda yang mengiringi
sementara menantikan Ustazah Maznah yang menunggu di pertengahan jalan,
berhampiran Pasir Putih di kawasan kampung halamannya.
Saya hanya wanita yang mengekori suami dengan anak-anak berderet.
Saya berharap kedatangan kami tidak menggangu tugasan mereka, ahli konvoi. Bahkan, saya berniat untuk sama-sama cuba
membantu tim setakat terdaya walau pun terpaksa mengelek si kecil yang sentiasa
mahu didukung.
“Jom kita sarapan dulu. Kita pekena ikan bakar Pengkalan Nyireh.
Makan berat sebelum buat kerja berat!” Suami menawarkan sambil bergurau. Saya
sudah tersenyum memandangkan itulah menu pagi yang selalu menjadi santapan
tetamu yang datang berurusan di ILTIM. Tidak pernah jemu!
Encik Sabri yang dilantik selaku Pegawai Perhubungan Tim Konvoi
hari itu memberi cadangan, “Saya rasa elok sahaja kita makan di pertengahan
jalan. Kalau kita melepasi jam 11 pagi, jalan akan mula sibuk dengan kenderaan
yang datang dari pelbagai lokasi. Yang jauh-jauh mula sampai termasuk dari
Johor dan sebagainya.”
“Masihkah ada yang menjual makanan nanti?” Sedikit kegusaran
diajukan oleh salah seorang daripada kami. Sebenarnya perkara yang sama
berlegar-legar di dalam kepala saya sejak dulu lagi. Fikir saya, masakan ada
lagi orang yang boleh berniaga makanan di saat Kelantan lumpuh disimbah banjir
besar! Betapa saya memikirkan kesusahan rakyat Kelantan mendapatkan stok
bekalan bahan mentah dan sebagainya sehingga menyukarkan urusniaga berjalan
seperti biasa.
Tersenyum Encik Sabri mendengar soalan yang seakan nakal itu. Risau
sungguh ahli konvoi andai perut tidak terisi sebelum menjalankan misi! Beliau
yang lebih berpengalaman berulang alik ke Dabong dalam beberapa siri bantuan
banjir dengan tim luar meyakinkan tempat berhenti makan ialah di Kampung Bukit
Bunga. Satu tempat yang tidak asing bagi ramai orang dan pengguna lebuhraya
Timur Barat.
Mendengar Bukit Bunga disebut, saya terbayang barangan bergantungan
yang dijual di situ, meriah! Namun, tidak pernah saya berhenti samada untuk
membeli barangan atau makan di situ sebelum ini. Tiada dalam agenda perjalanan
kami semasa berulang alik melalui kawasan itu. Agak saya, jauh juga tempatnya
dari lokasi mula kami.
Kami sekeluarga tidak mengambil sebarang makanan sebelum turun dari
kediaman memandangkan suami sudah menyatakan hasratnya untuk menaja sarapan
Ikan Bakar. Saya hanya menurut sahaja. Lagipun segala makanan yang dibeli malam
sebelumnya sebagai bekalan, termasuk roti dan jem tidak dibawa keluar dari
kereta. Saya cuma meminta anak perempuan kecil, si Auliya membawa sudu masuk ke
kereta. Air kosong tidak lupa dibawa.
Bukan itu sahaja, tiga botol besar air paip dengan sukatan 10L
setiap satunya kami bawa bersama. Cadangnya untuk berwuduk dan segala keperluan
yang lain. Betapa kami risaukan kemudahan yang terhad di Kelantan! Apatah lagi,
bekas rakan sekolah saya, seorang Pegawai Sains yang juga telah mengikuti misi
ke sana bersama pasukan suaminya dari KKM turut berpesan supaya melebihkan
bekalan air mentah. Lebih-lebih lagi anak-anak kecil yang saya bawa bersama
tidak boleh dijangka waktu mahu melunaskan kehendak biologinya.
Kereta kami yang paling sedikit membawa muatan barangan misi
banjir. Lebih banyak barangan sendiri termasuk pakaian tambahan kami
sekeluarga. Tidak ketinggalan juga barangan yang dikirim oleh Kak Irah kepada
Hikmah. Kereta kami bergerak paling belakang. Ustaz Raja bersama anak
saudaranya yang memandu pacuan empat roda mendahului misi ini.
Van jabatan, Toyota Pregio mengekori dengan dipandu oleh staf
ILTIM, Encik Ruzmi yang lebih senang dipanggil Pok Mi di kalangan staf. Lebih
mesra begitu. Turut serta dalam van ialah Ustaz Mohd Nor, orang lama yang
penting dalam organisasi. Encik Taha, penyelia Pasukan Pengawal dan Keselamatan
mewakili pasukan mereka. Kami melepasi pejabat pentabiran ILTIM dan terus
keluar melalui pos pengawal dan mula
berkonvoi di atas jalan raya.
Baru beberapa
minit tayar kereta bergolek di atas jalan, kami mula sibuk membuka bekalan.
Roti, di mana roti…! Jenuh saya mencari-cari plastik berlabel ‘Sabasun’. Suami
seperti biasa meneruskan pemanduan tanpa menghiraukan kami. Fokus!
“Tolong emak
carikan roti sekejap. Ada dalam kereta ini, malam tadi memang emak tidak
keluarkan.” Anak-anak segera patuh.
Sekejap sahaja
mencari, terus menjawab, “Memang roti tidak ada, emak. Sejak malam tadi,
Muhammad tengok tidak ada roti di sini.” Anak yang sulong meyakinkan saya.
“Ini tentu
Mukminah yang tinggalkan di kedai Sabasun semalam.” Saya mengeluh perlahan.
Bising sekejap dengan sesi salah menyalahkan dan ingin menegakkan kebenaran.
Yang sebetulnya ibunya juga yang patut insaf. Umur kian tua, belum bongkok
sabut, sudah mula lupa itu ini. Jangan sampai disapa penyakit nyanyuk pula sudahnya!
Nauzubillahi min zaalik…
Akhirnya, baru
saya teringat sesuatu. Sibuk dengan pilih biskut dan aiskrim, roti dan jem
mungkin ditinggal begitu sahaja…
“Tidak perlu
bising-bising. Tengok di hadapan itu. Kereta Encik Sabri sedang membelok ke
stesen minyak. Kita boleh turut berhenti di sini.” Kata-kata suami memberi
harapan baru pada saya. Biarkan apa yang sudah berlaku, Insya-Allah ada
hikmahnya.
Yang penting,
adalah pengajaran dari setiap apa yang terjadi walau sekecil-kecil perkara.
Pepatah lama orang Melayu jangan diambil enteng. Beringat dahulu, sebelum kena. Jangan sampai yang dikejar
tidak dapat, yang dikendong berciciran. Sudah dapat gading bertuah, tanduk sudah
tidak berguna lagi. Itu semua penting. Nasihat dan peringatan yang berguna dari
cantuman frasa yang sangat indah! Pengalaman orang dulu-dulu banyak mengajar
orang yang terkemudian.
Pengalaman
adalah ilmu yang tidak dapat dijual beli tetapi dapat dikongsi-kongsi. Itulah
juga sebahagian daripada tujuan kenapa kisah ini ditulis dan dibukukan. Sedikit pengalaman yang ingin dikongsi bersama
insan yang terhampir, jauh dan dekat. Kita semua sama walau tidak serupa. Kita
adalah manusia yang bergelar hamba. Dalam apa yang terjadi, ada kisah di
sebaliknya. Dalam apa yang berlaku, ada ibrah yang perlu dijadikan ilmu.
Alhamdulillah…
Setiap masalah, ada jalan penyelesaiannya. “Amin, nanti tolong turun ya! Tolong
belikan roti dan jem yang sama seperti semalam.” Tanpa berlengah, si anak
menurut kata. Mujur juga si kecil lena di atas ribaan. Jika tidak, jenuh pula
si Ali ini turut mahu serta dengan abangnya. Cukainya mesti ada. Tentunya
aiskrim juga yang akan diminta tanpa mengira waktu, suhu dan cuaca.
Itulah namanya peel perangai si anak kecil.
Bagi kita yang sudah dewasa, sudah mampu membaca dan bercerita, bahkan sudah
tua meniti usia, perlu mengkoreksi diri. Adakah kita juga masih sama seperti
anak kecil… Adakah kita juga sesekali mahukan suatu perkara dengan segera tanpa
mahu menunggu waktu dan tika yang lebih sesuai. Seolah-olah apa yang dimahu,
semuanya dapat terus di situ. Apa yang didoa, mahu terus Allah kabulkan saat
itu! Astaghfirullah….
No comments:
Post a Comment