Kereta kami
kembali menyusur di atas jalan raya. Pemanduan tenang diiring cuaca yang redup
dan damai. Hati sangat seronok melihat suasana cuaca yang begitu baik pada
musim-musim banjir begitu. Alhamdulillah… Moga cerahnya sampai ke petang.
“Auliya, tolong
berikan sudu pada emak. Emak mahu sapukan pada roti untuk ayah. Orang lain buat
sendiri ya…” Auliya mula sibuk tercari-cari. Tiada! Sudah saya kenal sangat,
perangai anak perempuan kecil saya yang seorang ini. Jika diberikannya sesuatu,
jika tidak diulang tanya, maka tertinggallah sudahnya! Dia ambil, dan dia
tinggalkan semula… Bila ada hal lain yang disibukkan, dia lupakan perkara yang
sebelumnya. Sebenarnya, itu lumrah yang biasa berlaku kepada saya juga….
Saya juga
sedikit yakin, perkara seperti itu turut berlaku kepada saudara saya yang lain.
Tidak mustahil juga pada saudara yang sedang membaca ini. Allah datangkan
ilmunya melalui anak kecil, sedangkan kita yang tua juga tiada bezanya. Kita
kejar dunia, sehingga kita lupa akhirat. Kita sibuk dengan kerja di tangan,
kita lupa hingga solat dianjakkan waktu.
Lagi teruk,
andainya kita hanyut dalam kelalaian, solat ditinggal terus tanpa rasa malu
pada diri sendiri apatah lagi pada empunya diri kita, Allah Yang Satu. Nauzubillahi
min zaalik! Itu realiti yang banyak berlaku dalam dunia akhir zaman hari
ini. Jikalau mungkin bukan pada diri kita sekali pun, mungkin juga pada orang
sekeliling kita. Tugas kita semua untuk saling menyedarkan antara satu sama
lain. Lupa sesaat, kesannya sampai akhirat.
Pernah suatu
hari, Auliya salahkan saya di atas sifat pelupanya itu. Katanya, “Saya ikut
perangai emak...” Masya-Allah! Betapa anak sekecil itu juga pandai meletakkan
beban kesalahan kepada orang tuanya. Tersentak saya dibuatnya. Kalau anak sendiri
menyalahkan ibu bapanya dalam tindakannya, apatah lagi masyarakat sekeliling.
Itulah sememangnya!
Saya yang
pernah belajar dalam aliran Sains Genetik, tidak pernah pula terfikir sifat
pelupa itu diwariskan semudah itu. Segera saya nasihati dia, bimbang diambil
mudah dengan sifatnya itu. Apatah lagi beriya-iya dia meyakinkan saya dengan
alasannya yang dianggap kukuh. Apa pun alasan, sebagai ibu, saya
bertanggungjawab memperbetulkan keadaan.
Segera saya
nasihatinya. “Emak sudah tua. Orang tua mudah lupa. Auliya masih muda, kecil
lagi. Masa emak umur sebaya Auliya dulu, tidak adanya emak lupa-lupa selalu…”
Perjalanan
hidup masih jauh wahai anak. Antara lapan dan 40 tahun itu bukan sedikit jarak
beza usianya. Begitu juga kita semua. Andai masih ada ruang dan waktu untuk
kita sampai kepada umur 60 tahun, umur yang biasanya diperuntukkan untuk umat
Nabi Muhammad SAW, manfaatkanlah dengan kebaikan… Andainya terhenti pada
bila-bila masa setiba saatnya yang tidak cepat dan tidak lambat, semoga kita
mati dalam kebaikan dan penghujung yang baik jua….
Bergerak dan
terus bergerak. Roda terus berputar di atas jalan raya. Hentian pertama kami
berhampiran daerah Pasir Putih. Ustazah Maznah naik di situ. Bersamanya
pelbagai barangan dan bekalan yang dimuatkan ke atas kenderaan Ustaz Raja. Baik
sungguh budinya, sudi menawarkan diri menyediakan meehoon goreng. Dimasaknya
sendiri, air tangan seorang ustazah! Meehoon yang siap dibungkus ini akan
diagihkan kelak kepada mangsa banjir. Puan Azlinda mula berteman. Kedua mereka
adalah staf wanita ILTIM yang sangat ‘sporting’.
Di Machang,
sekali lagi tim ILTIM singgah sebentar. Setiap kenderaan dibekalkan dengan ‘walkie-talkie’
bagi memudahkan urusan. Segala maklumat semasa dimaklumkan. Berhenti di mana,
perlu buat apa dan sebagainya. Saya dan anak-anak tidak turun dari kereta.
Hanya suami mendekati ahli pasukannya yang lain.
Staf ILTIM,
Ustaz Saidi sekeluarga naik di situ, memenuhkan van Pregio yang masih kosong.
Keretanya ditinggalkan sahaja di kawasan parkir berhampiran. Lebih mudah
begitu, kurangkan kenderaan di atas jalan. Melancarkan pergerakan kami dan
mengurangkan kesesakan jalan raya….
Sebelum kereta
kami bergerak semula, Encik Sabri datang menghampiri dengan segugus ‘pop-corn’
di tangan. Sambil senyum, tangannya menghulur, “Ambillah…”. Saya lembut
menolak, ‘Tidak mengapalah, tidak perlu. Terima kasih.” Saya berbasa basi.
Beliau terus beria-ia memberi. Untuk tidak mengecilkan hatinya,
lantas saya menyambut. “Okeylah, kami ambil dua bungkus, sudah cukup.” Memandai-mandai
pula saya meminta dua, padahal sebungkus sahaja sudah memadai untuk
dikongsi-kongsi.
Saya malu sendiri bila Encik Sabri, dengan masih tersenyum
menghulur semuanya. “Ambillah bawa masuk kereta. Kelak nanti mahu diagihkan
kepada anak-anak mangsa banjir. Kalau mahu makan, ambil sahaja, ya!...”
Malu! Malu! Malu… Hanya itu yang saya rasa. Salah faham rupanya.
Kalau tahu begitu, awal-awal lagi saya ambil sahaja masukkan ke dalam kereta
saya yang masih ada sedikit ruang kosong. Untuk menghilangkan rasa malu yang
tidak diundang, saya cepat-cepat menuruni kereta dan menyambut pemberiannya.
Pura-pura pula mengambil gambar ‘pop-corn’ tersebut. Alahai!
Melihat saya bersusah-susah cuba menfokus gambar sambil memegang sejambak ‘pop-corn’
di tangan, Puan Azlinda menwarkan diri untuk membantu pula. Lucunya, saya juga
difokusnya sama. Melihatnya sekilas, saya tergelak. Lagaknya seperti penjual di
tepi jalan…
Berjalan lagi, kemudian berhenti lagi. Bila mahu sampai agaknya.
Mentari sudah mula meninggi. Singgah di Bukit Bunga, kami mengisi minyak. Bukan
minyak kereta, tetapi perut yang semakin berkeroncong. Lauk tengahari menjadi
hidangan. Di situ, banyak pula beras yang dibeli dan dinaikkan ke atas
kenderaan. Bukan itu sahaja, kami dihampiri oleh tuan kedai berhampiran dengan
kawasan kami memakirkan kereta.
Benar sekali, rezeki Allah datang tidak disangka-sangka. Melihat
kenderaan yang penuh diisi muatan, para penjual di situ sudah dapat meneka ke
mana arah perjalanan kami. Pemilik kedai keropok berhampiran, datang menawarkan
pelbagai barangan. Minyak masak, tikar dan sebagainya diambilnya dari deretan
kedai berhampiran dan diserahkan kepada tim kami. Percuma! Ya Allah… saya
menyaksikan sendiri di depan mata, kebaikan budi insan mulia ini.
Katanya, barangan tersebut menjadi keperluan utama kepada mangsa
banjir. Mereka amat perlukan. Semoga Allah murahkan rezeki mereka yang tidak
pernah lokek menyumbang walaupun tidak pernah kenal. Namun, kita semua tetap
kenal sebagai saudara seagama. Yang sama-sama merasa susah bila saudaranya yang
lain diuji bencana.
Kenderaan bertambah sarat, terutamanya kenderaan yang dinaiki Ustaz
Raja. Dipertengahan jalan, gerimis merintik. Saya melihat sekali lagi keindahan
budi insan prihatin. Kesemua ahli kenderaan pacuan empat roda keluar dari
kereta yang tiba-tiba diparkir di tepi jalan. Oleh kerana, hanya kenderaan kami
yang mengekori, suami turut berhenti sama.
Semua barangan yang berisiko basah dimasukkan ke dalam plastik
hitam supaya tidak terkesan dengan rintik-rintik hujan yang turun. Kenderaan
tiada berbumbung, langkah berjaga-jaga perlu diambil agar barangan yang dibawa
tidak basah lencun andai hujan semakin lebat. Alhamdulillah perjalanan
diteruskan dalam cuaca yang baik. Akhirnya, kami singgah lagi di Kampung Bukit
Jering.
Kediaman seorang warga kampung disinggah. Seorang ustaz, yang juga imam
masjid di kampung itu, turut serta menanti di situ. Belia mengambil
tanggungjawab untuk menguruskan pengagihan barang-barang yang dibawa merangkap
akan bertindak sebagai penunjuk arah, rumah dan kawasan mana yang mahu dituju
kelak.
Barang-barang yang dibeli dan belum sempat diasing-asingkan dibuka
dan dibungkus semula untuk diserahkan mengikut keluarga. Bungkusan besar
dikecilkan agar barangan dapat diagih kepada lebih ramai keluarga. Biar sedikit
asal ramai yang dapat. Suasana menjadi meriah pula dengan sesi tolong menolong.
Anak-anak saya turut menyumbang tenaga. Kemuafakatan dan semangat kerja
berpasukan jelas ditunjukkan oleh ahli konvoi, pak imam dan tuan rumah juga.
Kami turut merasa sedikit bersalah apabila tuan rumah beriya pula
menghidang minuman. Kami mendapat tahu, mereka di situ turut terkesan dengan
musibah banjir apabila bekalan air bersih tidak dapat masuk ke tangki rumah.
Mereka mengumpul air dari sumber yang dibekalkan untuk dijadikan stok kegunaan
dalam rumah bagi sebarang tujuan. Sesudah itu, kami juga berterima kasih kepada
tuan rumah yang sudi menjadikan rumahnya sebagai markaz sementara buat kami
semua.
Sebelum betul-betul menuju ke destinasi yang dituju, sekali lagi
kenderaan dilencongkan dan dihalakan ke arah masjid berhampiran. Urusan akhirat
perlu diselesaikan. Hubungan dengan Pencipta perlu dijaga dalam usaha menjaga
hubungan sesama manusia. HablumminAllah, hamblumminannas.
Begitulah hidup kita sehari-hari. Kita tolong diri kita dan kita
tolong orang sekeliling kita. Jangan kita hanya menolong orang, diri sendiri
tidak terjaga. Solat itu yang utama buat
diri kita. Bekalan Akhirat juga yang kekal selamanya….
No comments:
Post a Comment