Saturday 7 October 2017

2.0 Air dan Manusia …

Pantai Bukit Keluang. Petang yang damai. Merenung ke laut luas di depan. Saujana mata memandang… Ombaknya masih beralun kasar dan deras. Telah dua minggu misi kami ke Dabong berlalu, namun hati ini masih dipagut hiba. Mengenangkan mereka yang masih di sana… 


Melihat air yang tidak berhenti beralun ke depan, ke belakang, datang lagi menghempas ke pantai. Saya insafi kelemahan diri sebagai hamba. Hanya Dia yang mentaqdirkan ini semua berlaku. Air juga makhluk-Nya. Air juga hamba-Nya. Hamba yang tidak pernah engkar dengan aturan Tuhannya.

Walau sekelip mata ianya berubah, juga tetap mengikut aturan taqdir-Nya. Apa yang berlaku tidak dapat dijangka-jangka. Air yang sama telah berkhidmat kepada alam ini semenjak dulu. Sejak alam ini diciptakan. Berapakah lamanya? Hanya Allah Yang Tahu…

Air tidak pernah gagal menjalankan fungsinya. Namun, kita manusia yang hanya dipinjamkan umur seketika cuma, bermacam-macam pula karenahnya. Datang menjengah ke bumi, menghirup udara sebentar kemudian menghembus pergi.

Walau sekejap, punyai cerita bermacam beza. Manusia bertukar-tukar ganti mencipta dan meninggalkan sejarah. Semenjak Nabi Adam AS hingga sampai waktunya kepada kita hari ini, umat akhir zaman. Dunia yang semakin tua.

Di dalam Al-Quran, terbukti nyata kisah air dan manusia. Air di zaman Nabi Nuh AS membanjiri seluruh alam sehingga tiada  yang terselamat kecuali ahli bahtera baginda.

Dan Nuh berkata (kepada pengikut-pengikutnya yang beriman), 
“Naiklah kamu sekelian ke dalamnya dengan menyebut nama Allah ketika belayar dan berlabuh. Sesungguhnya Tuhanku adalah Maha Pengampun, Maha Penyayang.”
Bahtera itu bergerak laju membawa mereka dalam gelombang ombak yang tinggi seperti gunung dan (sebelum itu) Nuh memanggil anaknya, sedangkan dia berada di tempat yang jauh darinya, 
“Wahai anakku, naiklah bersama-sama kami, janganlah engkau terus bersama orang yang kafir.”
Anaknya menjawab, 
“Aku akan pergi berlindung ke sebuah gunung yang dapat menyelamatkan daku daripada ditenggelamkan oleh air.” 
Nuh berkata, 
“Hari ini tidak ada sesuatu pun pelindung (dan penyelamat) daripada azab Allah, kecuali Zat Yang Maha Penyayang.” 
Dengan serta merta ombak itu memisahkan di antara keduanya, lalu jadilah dia di kalangan orang yang ditenggelamkan. (Hud 11 : 41-43)

Air di zaman Nabi Musa membelah lautan menjadi laluan. Nabi Musa dikejar Firaun. Akhirnya, golongan solihin selamat, golongan taghut tenggelam ke dasar.

Dan (ingatlah) ketika Kami belahkan laut (yakni Laut Merah untuk kamu lalui supaya kamu dapat melarikan diri daripada angkara Fir’awn), lalu Kami selamatkan kamu (daripada bahaya karam) dan Kami tenggelamkan  Fir’awn bersama tenteta-tenteranya, sedangkan kamu semua menyaksikannya. (Al-Baqarah 2 : 50)

Segalanya benar. Termaktub di dalam Al-Quran, kalamullah. Terbukti pula melalui kajian Sains Moden dan Sejarah. Dengan asbab air, tidak kurang para pengkaji  disuntik iman dan beroleh hidayah Allah. Akhirnya, mereka mengenal Pencipta dan Pengatur Alam ini. Kebenaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW terbukti benar tanpa ragu. Itulah hati-hati yang dulunya kontang dari fikrah Islami, kemudian dibanjiri nikmat Iman dan Islam. Mereka mengkaji dengan izin Allah….

Bencana banjir yang berlaku di Kelantan mempamerkan keganjilan fungsi sungai dan lautan. Sungai melimpah. Aras lautan meningkat. Hujan yang tidak reda-reda menakung had air melebihi paras biasa. Hujan lebat turun secara sangat luar biasa.

Air hujan dan sungai melimpah ruah ke segenap pelusuk, termasuk tanah tinggi yang tidak pernah sekali dijejak air bah. Itulah kebesaran Allah, Allah mampu buat apa sahaja. Betapa hebat kalimah Kun Fayakun itu…

Sebelum ini, tidak pernah berlaku banjir seburuk itu. Hatta jika dibandingkan dengan bah merah yang pernah melanda Kelantan pada tahun 1926, banjir kali ini lebih dasyat lagi. Itulah yang diluahkan oleh golongan warga emas yang sempat berhadapan dengan kedua-dua bencana tersebut.

Saya merujuk kepada Buletin Cuaca Bulanan yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia. Menerusi laman web rasminya bagi bulan Disember 2014, negeri-negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak Utara, Selatan Selangor dan kawasan pantai Negeri Sembilan telah menerima hujan melebih 60% daripada paras purata.

Kelantan, Terengganu dan Pahang pula telah mencatatkan jumlah hujan bulanan melebihi 1200 mm manakala Selatan Perak dan Selatan Johor telah mencatatkan hujan di bawah paras purata dengan jumlah hujan yang kurang daripada 200 mm.

Sumber : http://www.met.gov.my/images/stories/climate/mal1214.jpg

Banjir di Malaysia khususnya di Kelantan telah mencetuskan fenomena. Akhir Disember 2014 menyaksikan duka lara ratusan ribuan mangsa. Pahitnya musibah banjir besar ini bukan sahaja dirasai oleh mereka yang mengalaminya sahaja. Di seluruh pelusuk tanah air, masing-masing menderita. Ada yang risaukan ibu ayah di kampung. Ada yang terperangkap tidak dapat menyambung tugas. Pelbagai halangan dan cabaran di sana sini.

Masalah negeri menjadi masalah negara yang turut mengundang simpati masyarakat luar. Sehingga saatnya saya menulis hari ini, sokongan moral dan fizikal tidak putus-putus bertali arus membanjiri rakyat Kelantan yang menjadi mangsa. Sungguh pun begitu, adalah tidak adil jika sekiranya banjir besar bahkan dikatakan malapetaka yang dasyat ini hanya dilihat di negeri Kelantan sahaja.

Negeri-negeri lain turut menjadi mangsa kebanjiran air dari langit dan limpahan sungai-sungai. Sungai Temerloh di Pahang turut mempamerkan aras yang menggerunkan sehingga melimpah dan menyekat laluan utama ke Pantai Timur. Sudahnya, banjir yang buruk di Kelantan diburukkan lagi dengan banjir di negeri-negeri lain termasuk Terengganu, Pahang, Johor dan Perak. Banjir di sana sini.

Natijahnya, hubungan jalan raya turut terputus di sana sini. Ramai yang terperangkap! Saya terkenang kisah sahabat yang terperangkap di Temerloh, Pahang. Beliau sekeluarga bertolak dari Kuala Lumpur untuk pulang ke kampung. Akhirnya, mereka terperangkap selama lima hari dek terkepung air.

Penulis novel ibrah sejarah popular, Tuan Web Sutera yang mempunyai urusan keluarga di Rantau Panjang, Kelantan turut terperangkap di sana selama lima hari. Kisah mereka yang terperangkap didengari di sana sini. Bahana banjir memberikan kesan secara tidak langsung kepada bukan mangsa tempatan.

Itulah kuasa air yang ditunjukkan oleh Allah SWT. Air seperti api. Semasa kecil menjadi kawan, semasa besar tidak terlawan. Hanya kepada Allah kita bergantung harapan. Allah yang menurunkan hujan yang mencurah-curah melebihi sukatan. Allah juga yang menghentikannya dan air menghilang.

Sungguh ajaib! Rasanya seperti tidak logik dengan akal biasa bila melihat paras air banjir yang begitu tinggi. Terbit soalan di hati kecil, ‘Dari mana datangnya air sebanyak ini?’.

Walau pun jawapannya sudah jelas, dan hati cuba menerima seadanya. Kemudian, timbul pula soalan seterusnya, ‘Ke mana pula perginya air yang sebanyak itu?’ Allahu Akbar! Hanya Allah Yang Tahu. Allah yang taqdirkan begitu…

Dalam asyik bersembang, saya luahkan kepada suami. 

“Abang, tengoklah kuasa-Nya Allah. Dia datangkan air sebagai musibah kepada manusia. Dia juga yang datangkan pertolongan berbondong-bondong di kalangan manusia untuk membantu sesama manusia. Selama ini, air sudah menjalankan khidmatnya yang baik kepada manusia. Selama ini, manusia ini tidak pernah dikenali di antara satu sama lain. Namun, kasih sayang Allah menemukan mereka. Inilah rahmat di sebalik musibah. Kasih dan hati manusia bertaut walau pun tidak pernah mengenal siapa!” 

Hati saya sebak, suara menjadi kelu. Banjir melimpah ke pipi… Allahu Rabbi….

Betapa tinggi kasih sayang Allah kepada hamba-hamba-Nya. Diuji hamba-Nya dengan ujian yang nampak berat di mata, namun sudah diukur kapasiti hamba-Nya yang gagah jiwa untuk menanggungnya. Sungguh, mereka adalah pilihan Allah. Mangsa banjir adalah pilihan Allah. Mereka telah diuji dengan caranya.

Allah tidak membebani seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Dia mendapat pahala kebaikan apa yang diusahakannya, dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa), 
“Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau menghukum kami dengan azab jika kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang yang terdahulu daripada kami. 
Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tidak terdaya kami memikulnya dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami dan berilah rahmat kepada kami, Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum yang kafir.” (Al-Baqarah 2 : 286)

Begitulah firman Allah SWT, Tuhan kita semua. Ayat di atas tercatat kukuh di dalam surah yang paling panjang di dalam Al-Quran. Ayat terakhir surah Al-Baqarah ini perlu diyakini sepenuh hati. Doanya elok kita amalkan pagi dan petang dan telah disusun indah oleh Imam As-Syahid Hassan Al-Banna di dalam Al-Mathurat. Wallahu a’lam

No comments:

Post a Comment