Saturday 7 October 2017

5.0 Segalanya Mungkin

Pasca banjir yang huru-hara. Air yang membanjiri setinggi pohon kelapa mengubah segalanya. Bukan sahaja muka bumi yang berubah rupa, tapi gaya fikir manusia turut sama berubah toleransi dan persepsi.

Paradigma orang lama bukan pegangan wajib. Boleh berubah mengikut suasana. Bila terpaksa, apa sahaja boleh berubah sekelip mata. Moga ianya tidak sampai menjejas iman dan taqwa. Selagi dibolehkan agama apa salahnya, namun jangan pula sampai menambah dosa.

Saya melihat gambar yang dikongsi di laman maya. Sekumpulan lelaki berbaju kurung. “Maaf ustaz, ini sahaja baju yang kami ada.”, begitulah ujar mereka kepada sukarelawan yang datang membantu.
 
(Sumber : Google)
Benarlah, hanya pakaian itu mereka yang ada, hasil sumbangan orang ramai. Pakaian terpakai yang melambak, majoritinya ialah baju wanita. Baju lelaki terhad agaknya kerana mungkin lebih ramai wanita yang menyumbang.

Inilah juga masanya misi mengosongkan almari. Biasanya, wanita memang sinonim dengan dengan baju berlori-lori. Bagi satu, boleh tambah sepuluh lagi. Walaupun begitu tidak saya nafikan, ada juga insan-insan mulia yang sangat ikhlas ingin membantu hingga sanggup melepaskan keperluan mereka sendiri. Pakaian yang masih perlu disarungkan ke tubuh, itulah juga yang hanya mampu diberi.

Saya juga ada terbaca di laman maya, yang mana seorang pelajar Timur Tengah menghadiahkan sebentuk cincin sebagai sumbangan kepada mangsa banjir. Ya Allah… Sampai tahap itu, insan mulia bernama manusia ingin membantu sesama manusia. Betapa luhur jiwanya melepaskan hiasan di jari kepada mangsa banjir yang lebih memerlukan untuk ditukar ganti dengan wang ringgit. Nilainya melebihi harga emas itu sendiri. Moga Allah ganjari hiasan emas dan permata di syurga buatnya.

Sementara itu, Puan Zarin juga turut berkongsi cerita tentang sumbangan yang dihantar oleh pelbagai pihak dari segenap pelusuk di sana sini. Tugasnya pula mengagihkannya di sekitar Tanah Merah. Tiap-tiap hari ada sahaja berita yang dikongsinya di laman maya. Sukarelawanita yang tidak pernah kenal penat dan lelah. Dalam banyak kisah, terselit juga kisah lucu seorang pakcik penjaga masjid. Lucu lucu juga, namun hati tetap tersentuh jua…
 
 
Jange suko kakmbo, ambo takdok baju doh…” (Jangan ketawakan saya. Saya sudah tiada baju. ) Luah pakcik tersebut itu kepada Puan Zarin.

Kebetulan pula ketika itu, Puan Zarin sedang dalam jelajahnya menyampaikan misi bantuan dari orang ramai untuk mangsa banjir. Beliau yang sedang mencari-cari kawasan liputan talian, terus mengongsikan gambar pakcik tersebut di laman maya. Tidak lupa dia berjanji dengan pakcik bertuah itu untuk datang kembali di sebelah petangnya membawa baju yang bersesuaian.

Apa yang jelas di mata, pakcik itu sendiri yang merupakan mangsa banjir turut tidak duduk diam. Dalam keadaan berbaju kurung begitu, pakcik ini masih ke masjid menunaikan tugasnya. Betapa dalam susah, insan mulia ini masih tidak lupa tanggung jawab terhadap Tuhan dan agama. Moga Allah berkati…

Di sana sini, masing-masing tidak lepas tangan cuba membantu sedaya upaya setakat terdaya. Selain gambar demi gambar kemusnahan yang dikongsi sahabat di laman maya, misi bantuan banjir tidak dilupakan. Hati kian hiba melihatkan kesungguhan rakyat Malaysia turun membantu tidak kira tua atau muda. Mereka sama sahaja berlumba-lumba membuat pahala.

Saya menyedari Hikmah juga sudah mula pulang menjenguk ke rumah. Dikongsinya beberapa gambar di laman maya. Aduh! Tabahnya mereka yang berdepan dengan semua itu. Begitu juga mereka yang lain, asyik berkongsi pengalaman dan menyebarkan maklumat. Izzah juga sudah mula dapat dapat menghubungi kami melalui kumpulan sosial. Memohon sahabat agar dia didoakan dengan ketabahan dan kekuatan.

Melihat gambar yang dikongsi mereka semua, rasanya tidak logik sekali perkara sebegini berlaku di bumi Malaysia. Sekelip mata, segalanyanya berubah. Kali ini, bukan sahaja sekali bah sekali pantai berubah, bahkan seluruh muka bumi tidak kira padang atau lembah. Berubah dan terus berbeza. Tidak lagi seperti sebelumnya. Hancur musnah menyembah bumi…

Umpama tsunami, tiada bezanya. Sungguh, andai terkena batang tubuh sendiri, tidak sanggupnya berperang perasaan untuk menerima segalanya semudah hanya bersabar!  Ya Allah, benarlah mereka yang diuji itu insan terpilih. Insan pilihan yang Insya-Allah mampu meraih pahala sabar sebagaimana yang dijanjikan Allah SWT.

Episod tsunami yang melanda negara jiran, Indonesia pada akhir Disember 2004 kembali menerjah minda masyarakat Malaysia. Kisah 10 tahun lalu kembali diperkata dan dibandingkan. Kini Acheh sudah kembali membangun. Moga hikmahnya, 10 tahun akan datang, bumi yang disimbah bah besar ini akan kembali segar membangun dengan lebih baik lagi… Insya-Allah.

‘Kuatnya jiwa mereka menahan sabar, menerima apa yang ditaqdirkan-Mu, Ya Allah.’ 

Bahkan, mereka masih mampu mengukir senyum, meluah kata semangat menyuntik jiwa. Mereka susah, tapi masih mampu menyenangkan hati orang lain.

Tidak lama selepas itu, saya terbaca pula luahan penuh ikhlas dari Hikmah di laman mayanya. Coretan bersahaja yang cukup menyentap tangkai hati dan meluruhkan jantung! Paradigma saya terhadap sumbangan pakaian terpakai terus berubah seratus peratus sekelip mata. Jiwa meronta ingin menyumbang setakat terdaya. Apa sahaja! Insya-Allah…

Menitis air mata! Walaupun tidak banjir di pipi, cukup bah besar melanda hati dan perasaan. Sebegitu mereka merayu. Sangat memerlukan! Ya, mereka sangat memerlukan walau pun pakaian lusuh. Masya-Allah… Ini bukan banjir biasa-biasa seperti sebelum-sebelum ini. Ini bukan masalah biasa-biasa seperti mereka yang lain sebelum ini. Ini masalah besar! Ini masalah negara! Ini masalah agama!

 
Terima kasih Hikmah, patukan aksaramu pada papan kekunci menjalar ke sanubari, mematuk-matuk jiwa kami … Tiada telekung, bagaimana mahu solat. Tiada pakaian menutup aurat, macam mana mahu keluar rumah.

‘Ya Allah… sebegitu sekali mereka berdepan masalah. Kalau sudah sehelai sepinggang, bagaimana mahu itu ini…’ Hati saya berbisik perlahan.  

‘Berilah apa sahaja. Kain lusuh kain baru. Baju buruk baju baru. Telekung lama telekung baru… mereka akan terima. Insya-Allah. Jangan malu-malu. Jangan segan-segan.’

Mereka perlukan. Lusuh, buruk atau lama sekali pun,  lebih baik dari tiada… Something is better than nothing!… Ya, itulah hakikatnya. Saya memasang niat untuk menyelongkar semula koleksi jubah dan tudung labuh yang tersimpan lama tidak dipakai.

Sengaja saya menunggu untuk dititipkan kepada si anak dara yang sedang membesar. Sebahagian jubah sudah mula disarungkannya… Itulah dunia yang berputar. Ibu yang sedang menua. Anak yang sedang membesar. Dunia terus berubah dan kian tua…

Bumi sudah hampir berhenti berputar. Matahari kian condong. Kalau tidak sekarang, bila lagi mahu bertindak. Dunia ladang pahala. Jangan perlu tunggu matahari naik dari sebelah barat. Segalanya sudah terlambat. Apatah lagi nyawa kita tiada isyarat. Bila-bila masanya boleh pergi meninggalkan jasad.

Selagi nyawa dikandung badan, selagi itulah kita cuba jadikan segala amalan sekali pun biasa-biasa sahaja sebagai ibadat. Niat menjadi syarat. Pandangan Allah itu yang utama. Pandangan manusia bukan ukuran. Riak dan takbur umpama ulat yang memakan mangsa yang sihat. Perasan sihat tapi sebenarnya sakit. Perasan baik rupanya hati berpenyakit. Nauzubillahi min zaalik…


Moga kita dijauhkan dari segala niat jahat dan sanjungan orang. Sama-sama kita doakan dan cuba sedaya upaya ikhlaskan diri hanya kerana-Nya, Allah SWT. Tiada yang lain!

No comments:

Post a Comment