Bertanyalah (wahai Muhammad):
“Kepunyaan siapakah segala yang ada
di langit dan di bumi?
Katakanlah :
“(Semuanya itu) adalah milik Allah. Dia
telah menetapkan atas diri-Nya sifat kasih sayang. Sesungguhnya Dia akan
menghimpun kamu pada hari kiamat yang tidak ada sebarang syak padanya.”
Orang
yang merugikan diri sendiri (dengan mensia-siakan kurniaan Allah), maka mereka
dengan sebab yang tersebut tidak akan beriman.
Dan kepunyaan Allah jualah segala apa yang ada pada waktu malam dan
siang; dan Dialah Yang Maha Mendengar
lagi Maha Mengetahui.
(Al-An’am6 : 12-13)
Saya bebas memerhati ke sana ke mari, masih di sekitar mereka. Saya
melihat dan mena’kul. Tiada lagi gunanya pinggan mangkuk mahal buatan luar
negara. Semuanya berlumpur dihumban atau terhumban di laman rumah. Pada tika
itu, saya melihat jauh dari dalam hati, insafi diri! Semuanya sama. Miskin dan
kaya, tiada beza. Harta dunia semuanya sementara. Allah boleh ambil bila-bila
masa.
Saya sedar, cukup terpana! Untuk kita makan, yang penting bukanlah
jenis pinggannya lagi…. Tahan pecah, bunga cantik bukan ukuran. Untuk kita
memasak, bukanlah periuk lutsinar atau cantik berbunga perlu jadi idaman. Tahan
haba, dari peti sejuk terus ke dalam ketuhar bukanlah ciri utama. Untuk kita
tidur, bukan jenis katil dan cadar ropolnya yang perlu dititikberatkan. Sofa
dan segala peralatan rumah, asalkan sahaja dapat berfungsi, semuanya sama!
Segala barang dan isi rumah bertaburan di sana-sini. Peti sejuk,
kipas angin, mesin basuh, tilam, perabot dan apa sahaja. Tiada lagi beza pada
rupa dan jenama bila semuanya hilang fungsi tiada berguna. Iktibar untuk kita
semua. Segala isi dunia ini, cukuplah untuk kita ambil dan guna
sekadarnya. Berbelanja tidak sampai
boros dan berlebih-lebihan. Lebih baik berinfak kepada insan yang memerlukan.
Itu yang utama.
Aduh! Sakitnya menusuk ke hati. Kalau itu yang dikejar dan dicari
selama ini, segalanya sudah tidak berguna lagi bila jadi begini. Jika dipandang
dari mata hati, orang yang biasanya hidup susah, lebih beruntung dalam situasi
begini. Kerugiannya lebih minima berbanding si kaya. Miskin dan kaya sudah jadi
setara. Ada kereta tersadai, ada rumah terbiar. Masih bernyawa, itulah yang utama… Bekalan akhirat, itulah
yang kekal selamanya.
Saya mengintai ke dalam surau. Paras air pada dinding luarnya masih
jelas kelihatan, memberi indikasi bahawa surau juga bukan tempatnya untuk
menumpang berteduh ketika itu. Tiada yang akan selamat sekiranya cuba
berlindung di situ. Mungkin hanya tingggal bumbung andai tempat itu mahu dihuni.
Aahh! Tidak akan ada insan yang mahu dan sudi bertahan di situ lagi.
“Mimbar yang berada di tingkat bawah, di bawa air naik ke tingkat
atas.” Ujar pak Bilal yang berada di situ. Masya-Allah! Saya mendongak melihat
arah kedudukan mimbar yang jauh bezanya dengan kedudukan asal. Dinding dan lantai surau masih ada kesan bewarna
coklat dan perang. Tikar dan sejadah terhampar menandakan jemaah sudah dapat
bersolat di situ.
“Pasukan dari Selangor yang datang bersihkan surau ini.” Beritahu
lagi pakcik tanpa dipinta. Jelas terbayang kegembiraan di wajahnya apabila
surau dapat berfungsi semula walau pun dalam keadaan yang dhaif begitu. Itulah
yang sepatutnya. Dalam kita bersusah, kita kembali kepada Pencipta. Masjid dan
surau usah dilupa. Betapa baiknya insan yang datang datang dari kejauhan,
menabur budi menanam saham akhirat untuk membolehkan manusia kembali tunduk
sujud di rumah Allah ini….
Setelah berlama di kawasan itu, pasukan kami mula menaiki kereta
dan bergerak semula. Lorong demi lorong kami lewati. Adakalanya jalan tersekat
dek kenderaan yang tidak henti-henti memasuki kawasan. Adakalanya kami perlu
berundur semula kerana di depan sana merupakan jalan mati.
Kenderaan kami terpaksa berundur semula di satu kawasan berhampiran
tanah perkuburan. Hati tersentuh melihat tanah kubur dan batu nisan. Inilah
tempat yang dituju oleh semua. Banjir tidak menjadi masalah kepada mereka di alam
sana. Batu nisan bertaburan. Pokok besar tumbang. Tiada masalah kepada penghuni
alam barzakh!
Bagi yang hidup, banjir besar yang luarbiasa ini datang bersama
ancaman. Nyawa mesti diselamatkan! Semuanya cuba lari menyelamatkan diri. Ramai
dari penduduk di sini sudah bersiap-siap meninggalkan rumah sebelum mereka
tenggelam. Biarkan rumah dan kelengkapan tinggal begitu, tidak mampu lagi
diangkat dan dibawa sama. Ada yang sempat menjejak dan dijejak saudara dan
taulan. Ada yang cuma berkampung di atas jambatan.
“Makan apa sahaja bekalan makanan yang sempat dibawa. Lapar usah
nak dicerita lagi…” Tergiang-ngiang cerita penduduk kampung. Ketika itu nyawa
lebih berharga dari perut dan mata yang minta diberi jasa. Walau tengah malam,
mereka tetap lari. Lari dari bahaya di depan mata, mencari sebarang sudut dan
ruang yang dianggap lebih selamat walau untuk seketika. Tidak perlu fikir untuk
masa yang panjang, cukup untuk survival pada masa itu sahaja dahulu.
Sudahnya, ada yang bertahan dua tiga hari, ada yang memakan minggu.
Ada juga insan yang kembali pulang
menghadap Ilahi dangan asbab banjir besar ini. Bermacam tragedi dan musibah
yang menimpa bukan sahaja meragut nyawa mangsa banjir, bahkan tidak kurang juga
di kalangan sukarelawan yang cuba datang membantu. Semoga mereka pergi dalam
keadan yang baik, cukup bekalan amalan dan diterima Allah…
Hingga ke hari ini, sudah hampir setengah tahun peristiwa banjir
berlaku. Masih ada mangsa banjir yang terus menunggu untuk kembali seperti
dulu. Masih tiada rumah, apatah lagi kenderaan. Bukan mudah segalanya ingin
berganti baru. Patah tumbuh, hilang berganti. Namun, bukan mudah buat mereka
semua. Sukarnya saat itu!
Ya Allah, kami sedar ujian yang Engkau datangkan kepada mereka,
bukanlah semata-mata untuk mereka. Ujian-Mu untuk mereka dan kami. Mereka yang
merasa dan kami yang memerhati. Adakah cukup ikatan persaudaraan sesama kami,
sama ada kenal sebagai sesama muslim atau kenal sebagai sesama insan kerdil.
Cukupkah bantuan yang kami hulur. Cukupkah doa yang kami kirim. Ujian-Mu untuk
mereka yang masih hampir dengan kami. Dekat untuk dijejak, dekat untuk
didatangi.
Ya Allah, ampunilah kami semua. Andai hati kami masih keras. Masih
tidak melihat kebesaran-Mu dalam Engkau Mentadbir alam-Mu. Kami hanya
makhluk-Mu yang menumpang seketika di bumi-Mu, bersama-sama saudara kami yang
lain seluruh alam. Sekali Engkau datangkan bah, tidak mampu kami menangkis.
Sekali Engkau datangkan kemarau, tidak mampu kami mengait hujan turun dari
langit.
Dan Kami turunkan hujan dari langit dengan sukatan yang tertentu
serta Kami tempatkannya ia tersimpan di bumi dan sesungguhnya Kami berkuasa
melenyapkannya. (Al-Mukminun
23 : 18)
Katakanlah lagi : “Bagaimana pendapat kamu, sekiranya sumber air
kamu menjadi kering, maka siapakah (selain Allah) yang dapat mendatangkan air
yang sentiasa terpancar mengalir kepada kamu?”(Al-Mulk 67 : 30)
Ya Allah, walau apa jua ujian yang melanda, walau bagaimana
kesannya pada kami dan sesiapa sahaja, tetapkanlah iman kami. Biarlah landasan
kami adalah Islam-Mu Ya Allah. Hanya itu tujuan Engkau ciptakan kami.
Menegakkan syiar Islam-Mu di atas muka bumi ini….
Ya Allah, selamatkan seluruh saudara Islam kami di muka bumi-Mu.
Walau di ceruk alam mana pun, Engkau tempatkan mereka. Mereka dengan ujian
mereka. Kami dengan ujian yang Engkau tetapkan buat kami. Bantulah kami semua
dalam menghadapi itu semua. Kami semua tetap hamba-Mu. Bersatu kami dalam
agama-Mu. Bersatu kami dalam doa ke hadrat-Mu….
“Sesungguhnya kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut
(terhadap musuh), kelaparan, harta benda dan jiwa serta buah-buahan (hasil
tanaman). Sampaikan berita gembira kepada orang yang sabar.
(Iaitu ) orang yang apabila mereka ditimpa musibah, mereka berkata,
“Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami
kembali.” (Al-Baqarah 2 :
155-156)
Ya Allah bantulah kami…
Walau siapa dan di mana kami
Hanya kepada-Mu kami meminta
Walau apa ujian dan rintangan
Selamatkanlah kami dunia dan akhirat
Segalanya milik-Mu ya Allah…